Edited by Vellfire at 26-12-2021 08:24 AM
Keputusan tangguh sesi persekolahan penggal tiga wajar
KUCHING: Keputusan menangguhkan sesi persekolahan bagi penggal tiga 2021/2022 selama seminggu berikutan banjir melanda di beberapa buah negeri adalah tindakan yang wajar.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli (gambar) berkata, kesatuan bersyukur atas pengumuman itu kerana ia dapat memberikan sedikit masa untuk mangsa-mangsa banjir mempersiapkan diri sempena pembukaan sekolah nanti.
“Kita tahu bahawa ramai yang terlibat dengan bencana ini memerlukan masa untuk melakukan pembersihan rumah.
“Ada mangsa yang peralatan persekolahan mereka musnah seperti buku dan pakaian seragam dan ada sekolah mengalami kerosakan serta kemusnahan teruk yang perlu penggantian alatan dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini.
Zulkiflee menambah, terdapat juga sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir.
“Ini sudah tentu akan menyebabkan banyak sekolah yang belum bersedia untuk memulakan operasi persekolahan pada 2 dan 3 Januari nanti,” katanya.
Melihat keadaan itu, beliau mohon agar tempoh penangguhan seminggu itu dilanjutkan lagi mengikut perkembangan situasi banjir semasa di seluruh negara.
“Ini kerana kita tidak pasti sama ada penangguhan satu minggu ini mampu untuk menyediakan kembali segala alatan yang musnah ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap para guru terutama murid-murid untuk sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga semasa musim banjir ini.
Ibu bapa katanya, harus tegas dalam soal keselamatan anak-anak.
“Kealpaan ibubapa dalam menegur aktiviti musim banjir anak-anak akan menyebabkan kehilangan mereka dan pastinya kita tidak mahu perkara ini berlaku,” ujar beliau.
Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 ditangguhkan selama seminggu berikutan banjir besar yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.
“Tarikh baharu pembukaan sekolah bagi negeri-negeri kumpulan A ditetapkan pada 9 Januari ini manakala kumpulan B pula pada 10 Januari,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan sesi penggal ketiga akan bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Manakala bagi negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dijadual bermula pada 3 Januari 2022.
utusanborneo.com.my/2021/12/26 |