![](https://scontent.fkul4-3.fna.fbcdn.net/v/t39.30808-6/269622912_221900120115597_8756542132345259480_n.jpg?_nc_cat=101&ccb=1-5&_nc_sid=730e14&_nc_ohc=RvYhuQL63jAAX_7jnhe&_nc_ht=scontent.fkul4-3.fna&oh=00_AT89QW3swtkE3yyxoWM9CHAk3x4XqzC7OLd_69w_OAtr3w&oe=61CD77AF)
![](https://scontent.fkul4-3.fna.fbcdn.net/v/t39.30808-6/269607086_221900106782265_739846989815816160_n.jpg?_nc_cat=100&ccb=1-5&_nc_sid=730e14&_nc_ohc=pwWzj4bQ9MsAX8oA3VJ&_nc_ht=scontent.fkul4-3.fna&oh=00_AT8I3j8eIk4sAcIKmBgMwjwiWwnAvg8KnBTEklv1slfjTg&oe=61CCA6C8)
COVID-19: Sarawak rekod 27 kes baharu, satu kematian
KUCHING: Jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sarawak kembali meningkat apabila merekodkan 27 kes hari ini berbanding 19 kes baharu semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, penambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 252,175 kes.
Menurutnya, daripada jumlah itu, Sibu dan Lawas masing-masing merekodkan lapan kes diikuti Kuching dan Miri masing-masing (tiga), Bintulu (dua) manakala Limbang, Saratok dan Selangau masing-masing melaporkan satu kes.
"Daripada jumlah kes baharu itu, 11 kes melibatkan kategori satu (tiada gejala), kategori dua (gejala ringan) sebanyak 14 kes, manakala kategori tiga (jangkitan paru-paru) dan kategori lima (jangkitan paru-paru memerlukan ventilator) masing-masing satu kes," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, JPBNS turut melaporkan satu kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkodkan di Sri Aman.
Mangsa berusia 24 tahun itu mempunyai latar belakang penyakit iaitu asma, obesiti, penyakit hati kronik dan penyakit autoimun.
Berhubung kluster di Sarawak, setakat ini tiada laporan berhubung pengisytiharan kluster baharu di negeri ini.
utusanborneo.com.my/2021/12/25 |