|
Lelaki warga emas maut selepas dilanggar motosikal ketika melintas jalan di Jalan Datuk Kumbar. - Foto ihsan PDRM
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga emas maut selepas dilanggar motosikal ketika melintas jalan di Jalan Datuk Kumbar, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa, Zahari Hashim, 74, dikatakan baru keluar dari sebuah kedai makan terletak di hadapan lokasi kejadian.
Ketika itu, mangsa dikatakan hendak melintas jalan menuju ke kenderaannya yang diletakkan di seberang jalan untuk pulang ke rumahnya di Taman Nuri, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 9.23 malam.
Beliau berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal jenis SYM BX110 yang ditunggangi seorang individu sedang bergerak dari arah Derga Jaya menghala ke pusat bandar.
"Setibanya di lokasi kejadian, berlaku perlanggaran dengan lelaki warga emas terbabit yang ketika itu sedang menyeberangi jalan dari sebelah kanan ke kiri.
"Mangsa ketika itu baru selesai mengunjungi kedai makan roti Naan Tandoori dan menuju ke kenderaannya yang diletakkan di seberang jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Shukri berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Jenazah mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|