KUCHING: Hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC) kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Ikmalrudin Ishak.
Menurutnya, hal ini adalah untuk memastikan proses penamaan calon berjalan lancar tanpa mengganggu ketenteraman awam.
“Aktiviti seperti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang Hari Penamaan Calon.
“Selain itu, penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal calon juga tidak dibenarkan untuk hadir ke PPC,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, SPR menyeru agar semua calon dan parti politik yang terlibat sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, etika dan arahan yang dikeluarkan pada hari tersebut.
Sementara, surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik.
Di samping, pihak SPR juga menyeru kepada bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tertentu sebelum Hari Penamaan Calon untuk memudahkan proses tersebut.
“Resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari tersebut sebagai bukti bayaran bertujuan untuk memastikan proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
“Kertas penamaan calon pula boleh dikemukakan bermula dari jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 82 PPC yang berkenaan oleh calon, pencadang dan penyokong atau dua orang daripada yang dinyatakan atau salah seorang daripada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, SPR telah menetapkan bahawa tarikh Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-12 adalah pada 6 Disember in (Isnin).
sarawakvoice.com/2021/12/03 |