View: 638|Reply: 1
|
[Sarawak]
Projek bekalan air tamatkan penantian penduduk Sibu Laut untuk nikmati air bersih
[Copy link]
|
|
KUCHING, 2 Dis -- Menaiki bot selama kira-kira 20 minit untuk ke kampung berhampiran hanya bagi mendapatkan bekalan air bersih ketika musim kemarau suatu ketika dahulu, antara pengalaman pahit penduduk Kampung Sibu Laut dekat Petra Jaya yang sukar dilupakan.
Sejak lebih empat dekad lamanya, setiap kali berlaku musim kemarau, isu ketiadaan bekalan air menjadi mimpi ngeri buat 200 penduduk Kampung Sibu Laut, yang jarak perjalanannya kira-kira sejam dari Bandar Raya Kuching.
Namun, kini masalah ketiadaan bekalan air bersih di kampung itu sudah menemui titik noktahnya menerusi inisiatif dan usaha yang dijalankan kerajaan.
Baru-baru ini, projek Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Zon 1 Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur bernilai lebih RM4 juta ringgit dirasmikan oleh Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom membabitkan kerja pembinaan saluran paip baharu dan pembinaan saluran paip sub marin yang merentasi Sungai Sibu Laut ke Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur selain pembinaan Stesen Pam Penggalak Sebaris.
Sebelum ini, penduduk di kampung itu hanya bergantung kepada sumber air sama ada dari telaga atau hujan, dan tatkala tibanya musim kemarau, ia akan memburukkan lagi keadaan kerana kampung itu hanya dihubungkan dengan kawasan berhampiran melalui pengangkutan air.
Suri rumah Jalia Johari, 53, berkata penduduk kini boleh menarik nafas lega dan tidak perlu risau lagi mengenai masalah air setelah projek bekalan air bersih ke kampung tersebut siap sepenuhnya tahun ini dan bekalan air bersih boleh diperoleh terus dari paip di rumah.
“Sekarang ini semua dah ada, kami pun rasa lega dan senang sikit nak melakukan kerja rumah harian seperti mandi dan memasak serta mendapatkan air minuman selain air yang digunakan kini lebih terjamin kebersihannya. Kalau dulu air telaga pun ada masanya keruh dan tidak dapat memasak atau mandi, belum lagi terpaksa berebut dengan penduduk lain,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Mengimbau pengalaman pahit daripada kejadian bekalan air terputus selama dua bulan, Jalia berkata ketika itu penduduk benar-benar berdepan kesukaran mendapatkan air bersih untuk memasak dan minum.
“Susah juga la sebelum ini, sudahlah tiada air, untuk dapatkan air bersih kami juga terpaksa naik bot selama 20 minit ke jeti Kampung Telaga Air sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau dari lori air yang disediakan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB). Itu pun hanya cukup-cukup untuk beberapa hari sahaja,” luahnya.
Seorang lagi penduduk kampung, Aziro Khamis, 34, berkata sebelum ini mereka juga terpaksa mencatu penggunaan air kerana bekalan yang diperoleh dari jeti Telaga Air hanya mampu bertahan kira-kira tiga hari termasuk bantuan air mineral yang merupakan inisiatif daripada Kerajaan Negeri Sarawak.
“Sekarang senang sikit kami tidak lagi perlu mencatu air dan air bersih boleh digunakan untuk cuci dan bersih hasil tangkapan seperti ikan, udang dan lain-lain tanpa risau sebelum ia dijual,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Sibu Laut Senep Yasin, 63, turut melahirkan rasa gembira kerana penat lelahnya dalam usaha memohon bekalan air bersih di kampung tersebut menjadi kenyataan.
“Melihat titisan pertama yang keluar dari kepala paip tersebut, saya terus lupa penat-lelah yang dilalui semasa hendak memohon kemudahan ini dengan beberapa penduduk kampung.
“Tetapi ini yang saya mahu supaya semua orang di sini dapat rasa juga air paip bersih yang disediakan oleh kerajaan seperti orang lain,” katanya yang tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu ketika menunjukkan paip yang turut dipasang di surau dan balai raya kampung itu.
Setelah berdekad menunggu bekalan air bersih, Senep berkata kemudahan yang dinikmati kini bukan sahaja memudahkan kehidupan harian mereka malah turut membantu menjana ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat yang rata-ratanya nelayan.
“Kemudahan air bersih bagi kami nelayan sangat penting supaya kami dapat memproses ikan-ikan masin seperti terubuk, pembuatan belacan dan cencaluk dalam kuantiti lebih besar memandangkan sebelum ini kami hanya jual tangkapan terus kepada peraih,” jelasnya.
Kementerian Utiliti Sarawak memperuntukkan RM8.28 bilion untuk melaksanakan 606 projek pembangunan bekalan air di seluruh negeri ini dalam tempoh 2017 hingga 2021 dengan pembangunan projek berkenaan dilaksanakan melalui dua strategi iaitu Sistem Grid Bekalan Air dan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).
-- BERNAMA
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|