KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan jenayah pecah masuk kilang tempat menyimpan barangan perkakasan, dengan tujuan untuk mencuri.
Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman itu ke atas Irfan Hasri, 28, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua individu yang masih bebas didakwa memecah masuk sebuah kilang di Jalan Demak Laut Industrial, Jalan Bako di sini, pada 10 Jun lalu, jam 10 malam, dengan tujuan melakukan kesalahan mencuri.
Lelaki yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan keterangan kes, pemilik kilang yang hendak masuk ke premis tersebut pada pagi 11 Jun lalu mendapati pintu belakang kilang berada dalam keadaan terbuka. Pengadu juga mendapati kilang dipecah masuk melalui pagar belakang dengan pagar dawai dipotong.
Kamera litar tertutup (CCTV) di kilang berkenaan juga dirosakkan dengan cara dicabut.
Antara barangan yang hilang adalah sebuah komputer riba serta beberapa peralatan perkakasan milik pelanggan pengadu.
Anggaran kerugian berjumlah RM38,000.
Selain itu, hasil siasatan juga mendapati terdapat saksi melihat perbuatan tertuduh bersama dua orang masih bebas yang menceroboh masuk ke kilang berkenaan tanpa kebenaran pengadu.
Saksi juga melihat kesemua mereka membawa barang-barang tersebut melalui pagar kilang, selain mengumpil pintu masuk ke kilang tersebut.
Sehubungan itu, pengadu membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 2 Ogos lalu.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
utusanborneo.com.my/2021/12/01
|