Lau (tiga kiri) menyaksikan Ivy (empat kiri) menerima mesin pembersih udara daripada Pengurus Gree Malaysia Sdn Bhd Benny Lau, Benny Lau (dua kanan) di SKF, hari ini.
SIBU: Bilangan pesakit buah pinggang yang mendapatkan rawatan dialisis di Yayasan Buah Pinggang (SKF) meningkat sebanyak 122 peratus dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.
Pengerusi SKF, Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming memberitahu dua hingga tiga tahun lalu, hanya terdapat 35 pesakit tetapi jumlahnya kini mencecah 77 orang.
"Daripada 77 pesakit, 48 adalah lelaki dan selebihnya wanita. Kami (SKF) kini mencapai kapasiti penuh. Disebabkan itu, kami juga perlu melakukan empat syif rawatan dialisis daripada dua syif sebelum ini.
"Bukan itu sahaja, kami juga mengasingkan pesakit biasa daripada mereka yang telah baru balik dari kawasan lain kerana pandemik. Sebelum itu, kami menempatkan semua pesakit dalam satu bilik" jelasnya ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan mesin pembersih udara daripada Gree Malaysia Sdn Bhd hari ini.
Lau berkata mereka perlu mengasingkan pesakit untuk mengelakkan penularan coronavirus daripada merebak di pusat.
"Ia bergantung kepada ujian PCR mereka. Jika mereka didapati positif dan variannya sangat menular, maka mereka perlu berada di dalam bilik pengasingan selama 21 hari dan pada masa yang sama menjalani rawatan dialisis," ujarnya.
Untuk pesakit ini, Lau memberitahu, kakitangan termasuk jururawat dan doktor pada masa itu perlu bekerja dalam syif malam sehingga jam 11 malam.
"Rawatan dialisis di bilik pengasingan adalah pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat manakala pesakit biasa adalah pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu.
"Jumlah pesakit yang semakin meningkat dan rawatan dialisis tambahan semasa pandemik wabak ini menyebabkan kakitangan sangat tertekan sekarang. Kami berharap keadaan pandemik akan semakin baik dan kami (SKF) boleh kembali ke operasi biasa," katanya.
Lau mengaitkan peningkatan bilangan orang yang mengalami kegagalan buah pinggang berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat.
"Ia mempunyai banyak kaitan dengan gaya hidup. Mereka yang menghidap diabetes dan darah tinggi lebih berisiko kepada kegagalan buah pinggang. Pusat kami bukan sahaja menyediakan rawatan dialisis tetapi juga mendidik orang ramai tentang kesedaran dan pencegahan penyakit buah pinggang," jelasnya.
Pengurus SKF, Ivy Lau berkata, mereka perlahan-lahan mula bertukar daripada mesin hemodialisis jenis lama kepada mesin hemodialisis jenis HDF.
"Kami kini mempunyai 13 setiap satu daripada dua jenis mesin. Kira-kira dua pertiga atau 22 daripada pesakit kini menggunakan HDF untuk dialisis. Mesin hemodialisis jenis HDF ini mempunyai kestabilan hemodinamik yang lebih baik semasa rawatan," ujarnya.
Kos setiap rawatan menggunakan mesin HDF ialah RM285 manakala jenis HD ialah RM200.
Ivy berkata, sumbangan orang ramai membantu pesakit kurang mampu membayar rawatan tiga kali seminggu.
utusanborneo.com.my/2021/12/01
|