BETONG: Seorang warga emas yang tinggal bersendirian di sebuah rumah panjang sekitar Entanak ditemukan mati dalam keadaan tergantung, tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Zamry Alli berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan saksi di tempat kejadian.
“Setelah mendapat aduan daripada anak saudara si mati, pasukan kita terus ke lokasi dan mendapati mayat masih tergantung dengan tali nilon di tengah bilik.
“Terdapat kerusi plastik berwarna merah dalam keadaan rebah yang disyaki digunakan oleh si mati untuk berpijak.
“Kita juga menemukan minuman keras di tempat kejadian yang dipercayai sudah diminum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah siasatan awal tidak menjumpai sebarang elemen jenayah.
Jelasnya, mangsa yang berusia 60 tahun tinggal bersendirian di bilik rumah panjang tersebut setelah bercerai dengan isterinya. Anaknya yang sudah berkeluarga juga difahamkan tinggal di Kuching.
Tambah Zamry, ujian Covid-19 yang dibuat turut mengesahkan mangsa negatif Covid-19.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Betong untuk bedah siasat esok.
by suaraswk
November 30, 2021
|