|
Api dengan pantas menyambar dekorasi pada bahagian siling dewan perkahwinan itu sebelum akhirnya menjadi semakin besar. - TikTok
Majlis perkahwinan terbakar gara-gara bunga api
JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan yang mahu mencipta kelainan dengan mengadakan pertunjukan bunga api berakhir dengan padah apabila bunga api itu menyebabkan dewan persandingan terbakar, lapor laman berita Suara.com.
Video kejadian itu dimuat naik oleh akaun TikTok @pestamoi kelmarin.
Menerusi klip video itu, kelihatan sebuah majlis persandingan yang penuh meriah dan pasangan pengantin ketika itu, dirakam sedang menari.
Namun, percikan bunga api dari atas pentas persandingan tiba-tiba menyambar barangan perhiasan yang digantung di siling dewan itu dan api tiba-tiba menjadi besar.
Pasangan pengantin itu bagaimanapun dilihat masih tetap menari, malah, tetamu yang hadir juga kelihatan terkejut, namun tidak bergegas meninggalkan dewan itu.
Tidak lama kemudian, api mula menyambar perhiasan lain yang ada di atas meja tetamu, menyebabkan orang ramai mulai panik dan berlari meninggalkan dewan itu.
Netizen yang menonton video tersebut kemudiannya meninggalkan pelbagai komen.
“Kasihan pasangan pengantin, pasti mereka berasa trauma,” komen seorang netizen.
“Yang memasang bunga api di dalam dewan harus mengambil kira faktor keselamatan. Keselamatan sepatutnya menjadi keutamaan nombor satu,” komen netizen lain.
Video tersebut sudah ditonton hampir 700,000 kali dengan lebih 1,000 komen. – AGENSI
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2021/11 ... ara-gara-bunga-api/
|
|