SIBU: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Engga Unchat (gambar) yakin kempen mempromosikan perjuangannya menerusi media sosial tidak terjejas meskipun beberapa kawasan di DUN yang akan ditandinginya mengalami masalah capaian internet yang lemah.
Katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk berkempen dalam talian kerana mempunyai akar umbi yang cukup untuk memberi penerangan di lokaliti.
Jelas beliau, pengundi juga telah mengamalkan norma baharu selama hampir dua tahun dan sudah pasti tidak menjadi masalah bagi mereka (pengundi) mendapatkan penerangan jelas dalam talian.
"Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertujuan menjaga nyawa rakyat dan semua pihak termasuk ahli politik harus mematuhinya.
“Meskipun di beberapa tempat DUN yang ditandingi mengalami masalah capaian internet, namun saya tetap bersetuju dengan penetapan SOP dan guna digital kerana paling tidak ia memberi keselamatan kepada rakyat," katanya semasa dihubungi hari ini.
Menurut Engga lagi, SPR menetapkan SOP khas untuk PRN12 bertujuan menggelakkan berlakunya lonjakan kes COVID-19 sungguhpun kebanyakan rakyat di negeri ini sudah menerima vaksin.
Ujarnya, sekatan yang dikenakan SPR dalam SOP tersebut juga untuk memastikan proses PRN12 berjalan lancar.
Justeru, beliau berharap tiada amalan berat sebelah atau ‘double standard’ dalam penguatkuasaan SOP sepanjang tempoh PRN12 dengan semua pihak termasuk parti politik memberikan kerjasama.
Tegas beliau, ini (pematuhan) penting bagi memastikan penularan pandemik COVID-19 akan terus dapat dikekang dan dikawal.
"Selain memastikan PRN12 dilaksanakan atas semangat demokrasi, saya harap semua pihak juga beri kerjasama dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/25
|