Edited by Vellfire at 24-11-2021 07:56 AM
TERIMA KASIH: Abang Johari (tiga kiri) menerima 'kad ucapan' Terima Kasih daripada pemilik rumah fasa dua, Projek Perumahan Rakyat Permyjaya di Miri, sambil disaksikan oleh Reezal (dua kanan), Dr Sim (dua kiri) dan yang lain. - Gambar UKAS
MIRI: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengingatkan rakyat supaya belajar daripada pengalaman 22 bulan, Malaysia dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan banyak pembangunan dibatalkan.
Katanya, sepanjang tempoh 22 bulan itu, hampir semua projek yang dirancang dan hendak dilaksana, dibatalkan oleh PH yang memerintah dan mengambil alih kerajaan pusat ketika itu.
Malah usaha Sarawak mahu memperbaiki sekolah-sekolah daif juga tidak kesampaian apabila kerajaan pusat menuntut hutang daripada Sarawak terlebih dahulu, dengan bayaran RM1 bilion, namun kemudian projek pembaikian yang dijanjikan tidak dilaksanakan.
"Demi rakyat di luar bandar dan demi (memperbaiki) sekolah daif, Sarawak bayar RM1 bilion, lepas itu tidak buat (diperbaiki), mana tidak saya meradang.
"Apa yang berlaku 22 bulan, jangan pisang berbuah dua kali. Ingat apa yang telah berlaku. Biarlah kita Sarawak jaga Sarawak sendiri dan kita terus kerjasama dengan kerajaan persekutuan demi membangunkan rakyat dan negeri ini," katanya.
Abang Johari mengingatkan mengenai perkara itu, semasa berucap merasmikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bersama Kumpulan Syarikat Naim (NAIM) dan majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat Permyjaya Fasa 3, di sini hari ini.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Abang Johari dalam ucapannya turut menegaskan bahawa Sarawak mahupun sebuah kerajaan pusat yang kuat dan stabil, bagi menjaga negara dan seterusnya membantu agenda pembangunan negeri ini.
Sebaliknya pertukaran kerajaan yang kerap hanya akan membuatkan rakyat menjadi muak dan jemu, hingga menyebabkan situasi yang berlaku seperti di Melaka. "Rakyat sudah jemu (dengan pertukaran kerajaan pusat). Mungkin kerana itu, maka Melaka jadi demikian. Rakyat berkehendakkan kerajaan yang stabil, maka (pilihan raya negeri) Melaka menghantar mesej kepada kita," katanya mengingatkan.
Beliau juga mengingatkan bahawa rakyat sudah mulai menolak 'budaya katak' (melompat dan bertukar parti) dan beliau sambil berseloroh, bersyukur Sarawak tidak mempunyai banyak 'katak' yang boleh menjejaskan usaha kerajaan negeri membawa pembangunan kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar yang masih dahagakan pelbagai kemudahan asas.
"Kerajaan negeri Sarawak, adalah yang paling stabil ketika ini. Jangan rosakkan kerajaan kita," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/24
|