Edited by Vellfire at 24-11-2021 07:59 AM
PANTAU: Anggota Maritim membuat pemeriksaan ke atas barang-barang yang mahu dibawa ke Sebatik.
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan operasi bersepadu pantau kegiatan penyeludupan barang kawalan di sekitar perairan daerah ini kelmarin.
Operasi itu turut dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata operasi itu membabitkan dua bot peronda Maritim dengan kekuatan 12 anggota dan pegawai bersama empat penguatkuasa KPDNHEP.
Katanya, operasi itu merangkumi pemeriksaan jeti pemunggahan barang, pemeriksaan bot kargo tempatan dan pemeriksaan ke atas setor barang kawalan yang berdaftar di kawasan Pulau Sebatik.
“Pemeriksaan yang dilakukan di jeti dan setor berkenaan, mendapati peniaga mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
“Pemantauan aktiviti penurunan barang runcit di Jeti Sri Makmur, Tanjung Batu pula mendapati tiada perlanggaran undang-undang dikesan,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.
Siva menasihatkan agar semua pemborong sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelak tindakan undang-undang.
“Sepanjang operasi itu juga, enam vesel kargo telah diperiksa bagi memastikan tiada perlanggaran undang-undang yang dilakukan.
“Secara keseluruhan, operasi itu dilihat mampu membuka mata komuniti setempat agar sentiasa mematuhi undang-undang yang diperuntukkan khususnya dalam Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2015,” katanya.
Siva berkata, kerjasama dua hala Maritim Malaysia dan KPDNHEP dilihat dapat memberi impak yang lebih berkesan bagi membanteras kegiatan penyeludupan barang kawalan di perairanTawau.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membuat aduan dan menyalurkan aktiviti jenayah di perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/24
|