CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 359|Reply: 0

[Sarawak] Miri promosi tekstil Melanau batik linut ke pentas dunia

[Copy link]
Post time 24-11-2021 12:06 PM | Show all posts |Read mode


MUKAH: Berasal dari Kampung Telian, Mukah, sebuah perkampungan Melanau, batik linut kini dalam usaha diperkenalkan ke pentas antarabangsa menerusi bandar raya Miri.

Pengarah Urusan Lamin Dana Sdn Bhd Diana Rose berkata Miri dipilih untuk mempromosikan tekstil unik yang menggunakan tepung rumbia (linut) sebagai bahan pencorak itu, adalah keputusan berasaskan ekonomi memandangkan bandar raya kosmopolitan tersebut penghubung utama kawasan utara Sarawak ke luar negara.

Beliau berkata Miri mempunyai hubungan penerbangan terus ke Singapura dan juga lokasi yang strategik kerana berjiran dengan Brunei dan Sabah, malah kuasa beli penduduknya lebih tinggi.

“Justeru, untuk menjadikan batik linut sebagai produk pengenalan Miri, langkah ini merupakan satu percaturan yang baik.

“Ia merupakan situasi menang menang untuk kita. Kami berkongsi warisan dan jiwa kami dengan Miri serta bandar raya ini mempunyai satu lagi produk tarikan pelancongan,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya produk itu merupakan satu usaha inovasi dan tidak boleh dibandingkan dengan batik tradisional di negeri-negeri lain.

Katanya, ketika ini sambutan yang diterima daripada pelbagai pihak terhadap batik linut amat memberangsangkan, sekali gus menunjukkan potensi besar tekstil tersebut.

Diana berkata batik linut mula diperkenalkan pada April 2019 sempena Minggu Tekstil Borneo di Kota Kinabalu, Sabah dan selepas itu di Pesta Kaul Mukah, sebelum dipromosikan di Singapura sempena pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancong Sarawak (STATOS) pada Ogos tahun yang sama.

Baru-baru ini, dalam kunjungan Bernama ke Lamin Dana Cultural Lodge yang terletak kira-kira 143 kilometer dari Sibu atau kira-kira tiga jam perjalanan, pengurus residensi tempat peranginan itu Andrea James, telah menceritakan keistimewaan batik tersebut.

Katanya keunikan tekstil itu ialah pada linut, iaitu sagu yang dihasilkan daripada pohon rumbia, yang merupakan tanaman dan produk industri yang sinonim dengan Mukah dan suku kaum Melanau.

Jelasnya linut bertindak sebagai bahan menggantikan lilin, yang bertindak menghalang air atau bahan pewarna menembusi kain kerana sifatnya yang likat dan kalis air.

“Pada masa yang sama, kain yang direndam dalam larutan linut dan pewarna ini dapat menghasilkan corak dan warna yang lebih menarik,” katanya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pula berkata batik linut dilihat sebagai satu potensi bagi menjana pendapatan penduduk setempat dan melatih usahawan tempatan.

“Setakat ini saya nampak batik linut ini satu projek yang boleh dikatakan lestari kerana linut ada di tempat itu selain berkualiti tinggi dan cantik,” katanya. - Bernama


utusanborneo.com.my/2021/11/24

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-1-2025 07:37 AM GMT+8 , Processed in 0.055659 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list