TERSEPIT: Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori tersebut.
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut selepas lori yang dipandunya terbabas di Kilometer 15 jalan Lahad Datu-Tawau, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa, lelaki berumur 61 tahun memandu lori muatan batu bergerak dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner, Rohan Shah Ahmad berkata mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan ketika menuruni bukit di lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan itu, lori berkenaan terbalik dan mangsa tersepit di bahagian tempat pemandu yang menyebabkan orang awam gagal mengeluarkannya.
“Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah itu kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulan untuk menerima rawatan lanjut.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 4.50 petang semasa menerima rawatan hospital berkenaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk menunggu keputusan ujian COVID-19 sebelum bedah siasat dijalankan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemanduan mangsa ketika menuruni bukit sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas.
“Polis masih meneruskan siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta sesiapa yang melihat kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk membantu siasatan,” katanya.
Rohan turut menasihatkan pengguna jalan raya agar senantiasa mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Sentiasa mengamalkan sikap sabar dan berhati-hati ketika memandu serta mementingkan keselamatan pengguna yang lain,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/23
|