TANGKAPAN: Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
SEMPORNA: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar lebih 1,000 liter minyak petrol ke negara jiran di perairan Pulau Bohayen, di sini kelmarin.
Pasukan Quick Reaction Force (QRF) yang menjalankan rondaan telah mengesan pergerakan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut kira-kira jam 6.15 petang.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, bot berkenaan dikesan bergerak laju dari arah barat Pulau Bohayen menuju ke sempadan negara jiran. “Pasukanya ATB 2 bertindak memintas dan menahan bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan ke atas barang yang dibawanya.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun dan lelaki warga asing berumur 50 tahun di dalam bot laju berkenaan,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.
Katanya, pasukan keselamatan juga menemukan sebanyak 29 tong mengandungi 1,015 liter minyak petrol di dalam bot laju suspek.
“Suspek dan bot berkenaan ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM17,725 itu ditunda ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, manakala suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna,” katanya.
Menurutnya, suspek seterusnya dibawa ke Hospital Semporna bagi melakukan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna bagi siasatan lanjut.
Abdul Karim mengucapkan tahniah kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan pasukan QRF atas kejayaan tersebut.
“Operasi akan terus dilaksanakan bagi memastikan keselamatan persempadanan negara selamat melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA di Perairan Pantai Timur Sabah.
“Anggota ATB 2 sentiasa dalam keadaan siap siaga dan memiliki keupayaan operasi yang optimum dalam menangani cabaran keselamatan serta lain-lain ancaman sepanjang masa,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/23
|