LUPUS: Jentera berat digunakan untuk proses pelupusan rampasan minuman keras terbabit.
TUARAN: Sejumlah minuman keras pelbagai jenis bernilai RM85,000 membabitkan barang kes hasil rampasan polis bagi tempoh 2019 dan 2020 dilupuskan.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kesemua minuman keras terbabit dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran selepas mendapat arahan daripada Mahkamah Majistret.
Menurutnya, pelupusan barang kes berkenaan membabitkan barang tidak bercukai yang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Katanya, rampasan berkenaan membabitkan penahanan empat lori dengan muatan minuman keras sebanyak 1,687 karton di kawasan Tamparuli dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM85,000.
"Proses pelupusan kesemua minuman keras ini dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh mahkamah dan jentera berat turut digunakan untuk memusnahkan barang rampasan," katanya selepas ditemui di tapak pelupusan berkenaan di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai khususnya masyarakat Tuaran supaya tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan penyeludupan.
Hamizi berkata, masyarakat setempat diminta tampil menyalurkan maklumat mengenai sebarang kejadian atau aktiviti penyeludupan haram kepada polis supaya tindakan dapat diambil dengan segera.
Katanya, IPD Tuaran sentiasa mengambil perhatian yang serius dan tindakan sewajarnya ke atas sebarang kejadian jenayah dan maklumat yang disalurkan terutamanya berkenaan dengan aktiviti penyeludupan haram sekitar daerah ini.
utusanborneo.com.my/2021/11/2
|