Tertuduh (kiri) bersama peguamnya, Lim di lobi Mahkamah Kuching.
KUCHING: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup masuk dua migran warga Indonesia pada Disember 2020.
Hakim Datuk Zaleha Rose Pandin juga mengarahkan hukuman penjara bagi Libat [url=mailtoihin@Robert]Lihin@Robert[/url] Lohin, 65, untuk dikuatkuasakan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 10 Disember 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kenderaan pada hari kejadian didakwa terlibat dengan penyeludupan migran iaitu dua lelaki warga Indonesia pada 10 Disember 2020, jam 11 malam di Pangkalan Amo, Tebedu.
Berdasarkan fakta kes, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang menjalankan rondaan di sekitar kawasan tersebut apabila terserempak dengan sebuah kereta yang mencurigakan.
Kereta tersebut kemudian ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati ia dipandu oleh seorang lelaki tempatan (tertuduh).
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua lelaki warga Indonesia berada di dalam kereta tersebut dan siasatan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod kemasukan ke Malaysia.
Hasil siasatan juga mendapati kereta yang dipandu oleh tertuduh merupakan kereta sewa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Lian Kee.
utusanborneo.com.my/2021/11/22
|