Julaihi berucap pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat dan Jalan Utama Kedua Kuching-Samarahan. - Gambar oleh Roystein Emmor
KUCHING: Projek pembinaan jambatan dan jalan raya pesisir oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan gula-gula Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata pembinaan jambatan dan jalan raya pesisir ini telah bermula sebelum pilihan raya.
“Agenda dan dasar Sarawak mementingkan pembangunan. Sebab itu jambatan dan jalan raya ini perlu dibina kerana terdapat 6,000 penempatan di sepanjang kawasan pesisir.
“Sebab itu kerajaan GPS ambil langkah berani membina jambatan dan jalan raya pesisir ini walaupun ada yang dibatalkan kerajaan persekutuan.
“Projek ini sudah dirancang lebih awal dan akan diteruskan pada masa akan datang oleh kerajaan GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Sungai Sarawak Sejingkat dan Jalan Utama Kedua Kuching-Samarahan di tapak projek Sejingkat di sini hari ini.
Majlis pecah tanah dihadiri dan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bercakap mengenai projek tersebut, ia menurut Julaihi melibatkan pembinaan tiga komponen utama iaitu Pakej D3A melibatkan pembinaan jambatan jenis ‘Cable Stayed’ merentasi Sungai Sarawak di Sejingkat sepanjang 1.2 km yang dijangka siap dalam tempoh 4 tahun dengan kos RM365,737,131.16.
Kedua katanya Pakej D3B melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Kampung Tanjung Bako sedia ada daripada standard R3 kepada R5 yang dijangka siap dalam masa dua tahun dengan kos RM37,499,160.00.
Manakala ketiga Pakej D3C melibatkan pembinaan jalan raya baharu sepanjang 7 km bagi menghubungkan Jalan Kampung Tanjung Bako ke bulatan menuju Jambatan Batang Samarahan dengan kos RM81,844,544.38.
Jambatan dan jajaran jalan ini menurut Julaihi merupakan projek yang telah lama dinantikan terutamanya rakyat di Tanjung Bako dan kawasan-kawasan lain yang berdekatan.
Sebaik siap kelak katanya, jalan raya ini akan memperkasakan jaringan jalan pesisir dengan menghubungkan secara terus zon-zon industri perkilangan dan industri berat bagi Kuching dan Samarahan.
utusanborneo.com.my/2021/11/21
|