MUSNAH: Bomba berusaha memadam api dalam kebakaran tersebut supaya tidak merebak ke kawasan lain.
KOTA BELUD: Seorang lelaki dikejarkan ke hospital akibat terkena renjatan elektrik dalam kebakaran di Kampung Suang, Punggur, di sini kelmarin.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.28 malam.
“Sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama dua buah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah rumah jenis tidak kekal dan motosikal telah terbakar keseluruhannya,” katanya.
Katanya, pasukan bomba segera melakukan operasi menyelamat dan memadam dengan menggunakan dua pancutan air dari sumber tangki jentera.
“Terdapat seorang lelaki berumur 20 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital menggunakan kenderaan EMRS selepas terkena renjatan elektrik semasa membantu memadam kebakaran.
“Bagaimanapun, mangsa dalam keadaan sedar dan kini telah menerima rawatan lanjut di Hospital Kota belud,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 11.19 malam sebelum operasi ditamatkan kira-kira setengah jam kemudiannya.
“Siasatan akan dijalankan oleh pasukan bomba untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/21
|