BANTU: Julita turut menderma darah dalam program tersebut.
KUDAT: Kempen derma darah ‘Manahak Raha’ yang diadakan di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong dapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di daerah ini.
Seramai 100 penduduk datang untuk mendaftar kempen tersebut, namun hanya 49 orang sahaja yang layak menderma atas sebab tertentu.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata pihaknya menzahirkan terima kasih kepada semua penduduk yang hadir dalam kempen ini.
“Kempen ini adalah kerjasama Parti bersatu Sabah (PBS) Matunggong, Unit Tabung Darah Hospital Kudat, Bulan Sabit Merah Kudat, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Matunggong.
“Inisiatif tersebut sangat dihargai dan penganjur kempen ini perlu dipuji kerana berjaya mengadakan program yang bermanfaat untuk masyarakat di sini,” katanya ketika merasmikan kempen tersebut, di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, tanpa kerjasama daripada semua pihak yang terlibat, kempen ini tidak akan terlaksana dengan jayanya.
“Saya sangat gembira kerana kempen ini dapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk di daerah ini.
“Program yang julung kali diadakan ini perlu diteruskan pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada penderma menunaikan tanggungjawab mereka kepada masyarakat memerlukan,” katanya.
Julita berkata, dengan adanya program derma darah ini, sekurang-kurangnya dapat membantu pesakit yang memerlukan.
“Kita sedia maklum, daerah Kudat mempunyai pesakit Talasemia tertinggi di Sabah dan sudah tentu hospital di sini memerlukan banyak bekalan darah,”katanya.
Terdahulu, Julita turut menderma darah dalam program tersebut dan kempen ini telah melibatkan seramai 22 petugas.
utusanborneo.com.my/2021/11/21
|