|
RUDIGER (dua dari kiri) meraikan jaringan pembukaan ketika menewaskan Leicester City 3-0 di Stadium King Power sebentar tadi. - BR FOOTBALL
The Blues makin garang
LEICESTER – Chelsea kembali daripada rehat antarabangsa dengan langkah kanan apabila tampil garang membenam Leicester City 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power sebentar tadi.
Keputusan itu juga menyaksikan skuad kendalian Thomas Tuchel berjaya menebus kecewa selepas sekadar seri 1-1 dengan Burnley awal bulan lalu.
Kejayaan itu merupakan kemenangan keempat diraih Chelsea di tempat lawan sejak tewas di laman Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara pada September lalu.
The Blues kini terus mengekalkan kedudukan di puncak liga dengan mengumpul 29 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Chelsea memulakan aksi dengan agresif apabila barisan belakangnya dilihat cenderung berada di garisan lebih tinggi untuk menekan serangan lawan.
Usaha berterusan The Blues membuahkan hasil seawal minit ke-14 apabila Antonio Rudiger berjaya menempatkan diri di posisi tepat untuk menyambut baik sepakan penjuru yang diambil Ben Chilwell.
Memasuki minit ke-28, N’Golo Kante nyata berada di kelas tersendiri dengan menyumbangkan gol kedua buat Chelsea.
Ketika The Blues terus garang di babak kedua, pertahanan Leicester City, Daniel Amartey terlepas peluang terbaik untuk merapatkan jurang apabila rembatannya pada minit ke-62 berjaya ditepis penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.
Minit ke-71, ketenangan Hakim Ziyech mengawal bola dalam kotak penalti membuka ruang buat Christian Pulisic meledak gol ketiga buat Chelsea.
Sekalipun sudah selesa, Chelsea sepatutnya mampu menambah tiga lagi gol, namun kesemua jaringan yang dihasilkan Callum Hudson-Odoi, Pulisic dan Reece James dibatalkan kerana di kesan berada dalam keadaan offsaid. – K! ONLINE
|
|
|
|
|
|
|
| |
|