TANGKAPAN: Suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki cuba membawa minyak diesel tanpa sebarang permit, di kawasan Kampung Air, di sini kelmarin.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Kota Kinabalu Sabah, ASP Roslan Awang berkata pasukannya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.
“Pasukan PPM bertindak menahan kenderaan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan dokumentasi dan muatan yang dibawanya.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam. Katanya, pasukan PPM turut menemukan beberapa tong mengandungi minyak diesel di belakang kenderaan yang dipandu oleh suspek.
“Suspek juga gagal mengemukan sebarang permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa minyak diesel tersebut.
“Suspek dan barang rampasan berkenaan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, nilai rampasan termasuk kenderaan yang digunakan oleh suspek bernilai RM31,250 dan kes disasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Roslan berkata PPM wilayah 4 Sabah mengalu-alukan seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka.
“Maklumat boleh dilaporkan secara terus menggunakan aplikasi whatsapp kepada Pusat Komunikasi PPM Sabah ditalian 0139391197 atau berhubung terus dengan balai berdekatan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/21
|