SERIAN: Daerah Tebedu menjadi lokasi pilihan utama dalam rancangan penubuhan Taman Tema Sukan pertama di Malaysia, kata Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Beliau menganggap Tebedu sebagai pilihan terbaik berikutan lokasinya yang strategik serta berdekatan dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.
Jelasnya, idea penubuhan itu merupakan rancangan oleh syarikat Technology Mate Pte Ltd yang turut disertai oleh bekas pemain badminton kebangsaan serta naib juara tiga kali Piala Thomas Ong Ewe Hock dalam perjumpaan mereka di pejabatnya di Putrajaya dua minggu lalu.
“Mereka sepatutnya datang semalam untuk melihat lokasi untuk penubuhan taman tersebut namun perjumpaan tergendala disebabkan salah seorang daripadanya positif Covid-19.
“Mereka telah memberi pandangan bahawa terdapat potensi untuk membina Taman Tema Sukan ini di Serian kerana Serian merupakan kawasan pertengahan di antara Limbang (Malaysia) dan Pontianak (Indonesia),” katanya dalam sidang media Mini Karnival pekerjaan Eis PERKESO Sarawak 2021, hari ini.
Sementara itu, beliau turut percaya Serian bakal menjadi bandar utama sekiranya projek penubuhan itu menjadi kenyataan berikutan lokasinya sebagai pusat persinggahan utama oleh masyarakat dari Limbang, Sibu, Miri dan juga Kuching.
Katanya, ia turut memberi kesan besar secara langsung kepada daerah Tebedu selepas Ibu Negara Indonesia dilaporkan akan bertukar dari Jakarta kepada Kalimantan Barat.
November 20, 2021
|