SERIAN: Sarawak merekodkan seramai 21,578 orang bekerja sendiri (OBS) yang berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,361 OBS di Serian telah mendaftar dan mencarum melalui pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Serian.
Justeru, Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem menyeru agar lebih ramai individu OBS khususnya masyarakat tampil mendaftar bagi memberi perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri.
Menurutnya, SKSPS 2017 kini telah diperluaskan kepada 18 sektor informal termasuk peniaga kecil, petani, nelayan dan penggiat seni.
“Seseorang yang berdaftar dengan PERKSESO telah membayar caruman dengan jumlah yang kecil, tetapi sekiranya ditimpa kemalangan, mereka akan mendapat pampasan sebanyak 90 peratus dari pendapatan sepanjang hidup.
“Selain itu, bagi pencarum lama sekiranya mereka meninggal dunia, balu atau anaknya akan menerima bayaran pampasan setiap bulan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media Mini Karnival pekerjaan Eis PERKESO Sarawak 2021, hari ini.
by Suaraswk
November 20, 2021
|