Gambar fail menunjukkan Baru (kiri) bersama Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh (tengah) ketika menyertai PSB pada Mei 2020.
KUCHING: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Ba'Kelalan Baru Bian mengesahkan beliau akan bertanding semula bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.
Meskipun kemenangannya sebelum ini diraih menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau yakin para pengundi mampu menilai rekod khidmat baktinya di kawasan tanah tinggi itu.
Baru merupakan Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang disertainya selepas dipecat daripada PKR pada Mac 2020.
"Saya masih percaya majoriti rakyat Lun Bawang di Ba’kelalan akan membuat pilihan yang bijak dan saya serahkan kepada mereka.
"Mereka telah melihat rekod tentang apa yang telah saya lakukan untuk mereka dan saya biarkan keputusan memilih itu kepada para pengundi di kawasan," katanya selepas menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) diantara Earthlings Coffee Workshop dengan Lawas Highland Estate Coffee Sdn Bhd di Jalan Wan Alwi di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau sering turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat di Ba'Kelalan ketika sebagai peguam bagi meneliti berkenaan isu tanah sebelum beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
“Saya telah menubuhkan pusat khidmat di bandar Lawas walaupun sebelum saya dipilih sebagai ADUN. Pusat khidmat saya sentiasa ada dan kami sering turun ke lapangan serta bersedia pada bila-bila masa,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/20
|