RASMI: HAJIJI (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian Pameran Matta, turut kelihatan Presiden Matta Datuk K.L Tan (dua kanan).
KUALA LUMPUR: Sabah akan membenarkan pengunjung lengkap vaksin memasuki negeri ini tanpa memerlukan ujian COVID-19 bermula 1 Disember 2021.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor membuat pengumuman itu ketika merasmikan Majlis Perasmian Pameran Matta ke 49 di PWTC semalam.
Beliau berkata, Sabah juga sudah bersedia untuk menerima pengunjung antarabangsa sejurus Malaysia membuka semula sempadan pada tahun depan.
"Setakat November 2021, Sabah telah menerima sejumlah 266 penerbangan terus mingguan dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan dan Sarawak dengan jumlah kapasiti tempat duduk sebanyak 43,000.
"Penerbangan dalam Sabah sahaja, sejumlah 123 penerbangan direkodkan dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 16,720 tempat duduk yang menghubungkan Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau," katanya.
Terpilih sebagai destinasi pilihan ramai untuk kali ketiga selepas 2015 dan 2019, Sabah telah membuka sebanyak 12 booth untuk mempamerkan produk pelancongan negeri ini.
Berkaitan dengan kemudahan penginapan, Hajiji berkata jumlah bilik penginapan di Sabah kini mencukupi untuk memenuhi permintaan dengan penambahan sejumlah 3,506 bilik lagi apabila siapnya 11 hotel baharu pada tahun hadapan.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan negeri telah melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah bagi segmen tempatan dan antarabangsa untuk meningkatkan promosi pelancongan termasuk perubahan keadaan pasaran ketika pandemik.
Katanya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) juga berkolaborasi dengan pengusaha industri pelancongan untuk mengadakan pendekatan, ekspo pelancongan, promosi dan latihan mengenai kemas kini destinasi secara maya.
"Ini termasuk mewujudkan semula perdagangan dan keyakinan pelancong melalui perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dan kerajaan-kepada-kerajaan (G2G) dengan negara termasuk China, Korea Selatan, Norway, Indonesia, Brunei, Dubai, Itali, Kazakhstan dan Turki.
"STB juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan membantu mereka dalam mewujudkan semula penerbangan terus untuk perjalanan domestik dan antarabangsa," katanya.
Hajiji berkata MATTA Fair yang kembali dianjurkan adalah penting kerana ia menandakan permulaan fasa pemulihan bagi industri pelancongan selepas hampir dua tahun negara dilanda COVID-19.
Katanya, adalah menyedihkan banyak perniagaan termasuk mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan bergelut untuk terus beroperasi ketika fasa pemulihan pada tempoh pandemik.
Katanya, kerajaan negeri mengiktiraf kepentingan sektor pelancongan sebagai pemakin pertumbuhan ekonomi dan sudah mengenal pasti industri berkenaan sebagai satu daripada tiga daripada tunjang pembangunan utama Sabah dibawah perancangan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021 sehingga 2025.
"Kita mengalu-alukan pelabur dalam sektor pelancongan untuk terlibat sama dengan komuniti tempatan agar mewujudkan situasi menang-menang dalam peluang perniagaan serta kejayaan.
"STB dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan melebarkan lagi rakan niaga dengan pemegang taruh industri lain dan juga organisasi pelancongan bagi mewujudkan produk pelancongan yang lebih inovatif.
"Usaha ini akan memperkasakan daya saing kita dan kita mahu memastikan Sabah kekal sebagai salah satu destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia," katanya.
Katanya, industri pelancongan Sabah sentiasa cemerlang menjangkaui jangkaan pada setiap tahun sehinggalah terjejas akibat pandemik pada 2019. Kejayaan besar sektor ini pada tahun berkenaan apabila merekodkan sejumlah 4.1 juta kedatangan pelancong dan berjaya mengutip RM8.342 bilion resit dengan RM12 juta pendapatan cukai berjaya dikutip.
Antara produk pelancongan terbaik dan berpotensi tinggi untuk dikembangkan lagi adalah Pelancongan berasaskan komuniti dan luar bandar yang diwujudkan STB pada 2014. "Dua kluster pelancongan berdasarkan komuniti iaitu Kadamaian Kota Belud dan Kiulu Tuaran berjaya merekodkan pendapatan RM7.57 juta dengan menarik sejumlah 270,000 pengunjung pada 2019.
"Kini kita akan memberikan fokus untuk mengembangkan produk ini di pelbagai destinasi di Sabah," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menyeru para pemain MICE untuk melihat keupayaan Sabah sebagai destinasi pemeran, persidangan dan seminar.
"Pembukaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) adalah kemudahan terbesar pernah dibangunkan di Borneo dan kini ia menawarkan peluang aktiviti bertaraf antarabangsa untuk diadakan di Sabah.
"Kerajaan negeri juga akan melihat keperluan mewujudkan Biro Konvensyen Sabah bagi memperkasakan lagi usaha mempromosi Sabah agar kekal sebagai destinasi pilihan aktiviti MICE," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut berterima kasih atas sokongan Matta kepada usaha pemulihan pelancongan negeri dan berharap pameran berkenaan akan kembali diadakan di Sabah tahun depan.
Katanya, pameran Matta adalah acara yang sangat dinanti-nantikan pelbagai pihak dalam dan luar negara.
"Pameran ini akan menawarkan pelbagai pakej pelancongan kepada platform pelancongan dari negara seperti Korea Selatan, Taiwan, Filipina, Jepan, Turki dan Uganda," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/20
|