Hasbi kecewa projek menghubungkan Limbang ke Mulu, Miri tanpa melalui Brunei gagal disiapkan
Hasbi menyerahlan simbolik kunci PPRT kepada seorang penerima hari ini.
LIMBANG: Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah kecewa dengan perkembangan terkini projek dinantikan rakyat pembinaan jalan dari Ulu Tubai hingga Mentawai, Gunung Buda, yang juga bakal menghubungkan daerah ini ke Mulu dan Miri tanpa melalui Brunei.
Beliau berkata projek kerajaan Sarawak dibawah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA) apabila siap bakal membuka laluan untuk sektor perlancongan di Gunung Buda itu sendiri hingga ke kawasan Taman Negara Mulu.
Tambahnya pihak kontraktor perlu memberi komitmen menyiapkan jalan ini bagi tujuan pelancongan dan ekonomi Limbang itu sendiri yang sepatutnya siap awal tahun depan.
“Jangan kata rakyat saja kecewa, saya sendiri kecewa, kerajaan sudah membuat perancangan lama, bila tiba perlaksanaan, tak tahu nak cakap apa,itu komen saya,”katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kunci Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan sijil Program Penjana GiatMARA usahawan Digital, Mahir Niaga GiatMARA Sarawak di Dewan Bunga Raya hari ini.
Hadir sama Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Bandar KPLB Badrie Abdul Rahim, Pengarah KPLB Negeri Sarawak Shafiq Anas Abdullah dan Pengarah GiatMARA Sarawak Abdul Halem Serojai.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata lagi kontraktor yang diberi amanah untuk membina jalan ini perlu menyiapkan jalan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Saya bukan membidas, mana yang diberi amanah untuk membuat jalan ini laksanakanlah dan siapkan secepat mungkin, jangan ikut masa kamu, ikut masa ditetapkan kerajaan dengan peruntukan diberikan,” katanya.
Beliau menjelaskan kontraktor seperti ni harus dipantau serapi-rapinya memandangkan ianya merupakan projek dinantikan rakyat dan kini dijadikan isu menjelang pilihan raya.
Selain itu katanya agensi kerajaan yang bertanggungjawab juga perlu memantau pembinaan jalan untuk penyelenggaraan.
“Tolonglah kami wakil rakyat dan tolonglah rakyat dikawasan Limbang kerana mereka yang menggunakan jalan ini nanti.
“Buat dengan bersungguh-sungguh dan serius mengikut jadual yang ditetapkan bukan mengikut masa kamu (kontraktor),” jelasnya lagi.
Jelasnya segala yang diamanahkan ada hadnya dan kerajaan akan mengambi tindakan jika mereka mengambil ringan terhadap projek dan penyelenggaraan jalan yang ditunggu rakyat.
“Justeru kontraktor yang melaksanakan projek ini perlu laksanakan yang diamanahkan,” kata beliau lagi.
utusanborneo.com.my/2021/11/20
|