|
Kehidupan bermaruah
KEMUNCAK keharmonian dan kesejahteraan hidup ialah wujudnya toleransi dan sifat dermawan dalam kalangan manusia sehingga lahirnya kasih sayang.
Kehidupan dunia ini pada hakikatnya jambatan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Erti kata lain, setiap insan adalah seumpama seorang pengembara berkelana yang berpindah randah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apalah erti dunia bagiku. Hubunganku dengan dunia ini laksana seorang pengembara yang sedang berjalan di bawah kepanasan terik mentari. Tiba-tiba kelihatan olehnya sebatang pohon lalu dia berteduh sejenak di bawah bayangan teduhannya. Sesaat kemudian, dia pun akan berlalu pergi meninggalkan tempat tersebut." (Hadis riwayat Tirmizi)
Dalam hal ini, Luqman al-Hakim seorang ahli hikmah yang Allah rakamkan kisahnya dan akhirnya diabadikan namanya di dalam al-Quran dengan satu surah yang dinamakan surah Luqman, pernah ditanya oleh anaknya: "Apakah satu benda yang paling baik dimiliki oleh setiap orang?"
Luqman menjawab: "Agama."
Si anak bertanya kembali: "Jika dua?"
Ujar bapanya: "Agama dan harta."
"Jika tiga?"
"Agama, harta dan sifat malu."
"Jika empat?"
"Agama, harta, sifat malu dan akhlak yang baik.'
"Jika lima?"
"Agama, harta, sifat malu, akhlak yang baik dan sifat dermawan."
"Jika enam?"
Luqman berkata: "Wahai anakku! Jika kelima-lima perkara tersebut terkumpul pada diri seseorang, maka dia akan menjadi seorang yang bersih dan terpelihara ketakwaannya serta selamat daripada godaan syaitan. "
Nasihat Luqman al-Hakim di atas menyingkapkan satu sisi pandangan hidup yang realistik dan amat relevan untuk mengangkat martabat dan maruah seseorang manusia di dalam kelompok masyarakat iaitu beragama, berharta, memiliki sifat malu, mempunyai akhlak yang baik dan bersifat dermawan terhadap orang yang memerlukan.
Agama adalah satu keperluan hakiki yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan setiap manusia di muka bumi ini. Ini kerana agama akan menjadikan seseorang manusia itu memiliki kekuatan rohani, moral dan mental untuk mengharungi cabaran hidup sehingga dapat menyesuaikan diri dengan segala keadaan hidup yang penuh dengan onak dan duri. Dengan agama, seorang manusia akan sentiasa bersifat bersungguh-sungguh, tabah dan terbuka dalam mendepani cabaran hidup di hadapannya.
Hakikat beragama sebenarnya menuntut kita menjadikan agama sebagai teras kehidupan semasa. Ini bermakna, kita tidak sewajarnya meminggirkan terus agama daripada landasan hidup dalam kesibukan kita mengejar kemewahan dunia dan bergelut dengan ledakan globalisasi, modenisasi dan dunia tanpa sempadan yang semakin rancak di pentas kehidupan kini. Oleh itu, agama sewajibnya berfungsi sebagai momentum konkrit yang mengakari dalam setiap ruang lingkup kehidupan manusia hingga mampu memantulkan nilai-nilai Islam kepada seluruh umat manusia.
Harta pula adalah keperluan asasi yang menghiasi kehidupan setiap manusia dalam rangka untuk memelihara maruah dan kehormatan diri, mengelakkan diri daripada meminta-minta daripada orang lain dan menjadi beban kepada orang lain di samping dapat menunaikan perintah agama yang menganjurkan umatnya supaya mencari keseimbangan hidup dunia dan akhirat.
Seorang penyair Arab terkenal pernah bermadah: "Alangkah indahnya hidup ini bila terhimpun agama dan harta pada diri seseorang manusia, dan alangkah malangnya bila terkumpul pula kekufuran dan kemiskinan dalam diri seseorang manusia."
Sehubungan itu, Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Awlawiyyat pernah menyatakan satu pertanyaan yang menarik untuk renungan kita iaitu: "Manakah yang lebih utama dan lebih banyak pahalanya di antara orang kaya tetapi bersyukur berbanding dengan orang yang miskin tetapi bersabar?" Menurut al-Qaradawi, orang kaya yang bersyukur lebih baik dan utama berbanding dengan orang miskin yang bersabar.
Dalam masa sama, dalam usaha seseorang untuk mencari harta kekayaan, dia seharusnya memiliki sifat malu. Bagi seorang Muslim yang beriman, perkara yang utama semasa mencari harta adalah bagaimana harta kekayaan itu akan diperolehinya, bukannya berapa banyak jumlah harta kekayaan yang akan diraihnya! Oleh sebab itu, jika sifat malu tiada, orang tidak akan berfikir lagi pada persoalan bagaimana sewajarnya mencari harta, sebaliknya dia berfikir bagaimana untuk memperolehi harta dengan lebih cepat!
Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah: "Apakah amalan yang menyebabkan seseorang itu dicintai Allah dan dicintai sesama manusia? Jawab Rasulullah: "Janganlah tamak terhadap harta nescaya kamu akan dicintai Allah, dan jangan pula kamu tamak terhadap hak-hak orang lain, pasti kamu akan dicintai manusia ramai." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Selanjutnya, perjuangan manusia untuk meraih kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia ini tidak dapat lari daripada akhlak, moral dan budi pekerti yang merupakan hasil atau buah yang lahir daripada sifat beragama yang bertapak dalam jiwa seseorang . Akhlak yang baik merupakan benteng yang kukuh apabila berdepan dengan segala musibah dan ujian hidup yang melanda.
Akhirnya, akhlak yang baik akan melahirkan sifat dermawan dan pemurah kepada golongan yang memerlukan. Kehidupan yang bermaruah dan bermartabat ialah sebuah kehidupan yang bermanfaat kepada orang lain. Ini kerana manusia sememangnya tidak dapat untuk hidup bersendirian atau berseorangan tanpa kewujudan anggota masyarakat di sekelilingnya. Kemuncak keharmonian dan kesejahteraan hidup ialah wujudnya sifat toleransi dan dermawan di kalangan warga manusia sehingga lahirnya kasih sayang sesama mereka di dalam sebuah negara yang aman damai di bawah keredaan Ilahi.
Penulis Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
SUMBER:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... kehidupan-bermaruah
|
|
|
|
|
|
|
| |
|