Edited by boca120879 at 9-9-2022 04:22 AM
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Diceritakan oleh Abu Ja'far Muhammad bin ash-Shabbah & Abu Bakar bin Abi Syaibah, diceritakan oleh Ismail bin Ibrahim, daripada Hajjaj ash-Shawwaf, daripada Yahya bin Abi Katsir, daripada Hilal bin Abi Maimunah, daripada 'Atha' bin Yasar, daripada Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami,
"Ketika aku sedang solat bersama-sama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba ada seorang lelaki daripada suatu kaum bersin.
Lalu Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami mengucapkan, يَرْحَمُكَ اللَّهُ (Semoga Allah memberimu rahmat).
Maka seluruh jemaah mengalihkan pandangan mereka kepadaku.
Aku berkata, "Aduh, celakalah ibuku! Kenapa awak semua menjelingku?"
Malah mereka menepuk tangan di atas paha.
Setelah itu barulah aku tahu bahawa mereka menyuruhku diam. Tetapi aku telah diam.
Tatkala Rasulullah s.a.w. selesai solat, ayah dan ibuku sebagai tebusanmu (ungkapan sumpah Arab),
aku belum pernah bertemu seorang pendidik sebelum dan sesudahnya yang lebih baik pengajarannya daripada Rasulullah s.a.w.
Demi Allah! Rasulullah s.a.w. tidak memarahiku, tidak memukul dan tidak memakiku.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya solat ini, tidak boleh di dalamnya ada percakapan manusia. Kerana solat itu hanyalah tasbih, takbir dan membaca Al-Qur'an."
Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami berkata, "Wahai Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya aku pada waktu jahiliyyah, Allah telah mendatangkan agama Islam. Sedangkan di antara kami, ada beberapa lelaki yang bertemu dengan dukun."
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Janganlah kamu bertemu dengan mereka (dukun)."
Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami berkata, "Dan di antara kami, ada beberapa lelaki yang bertathayyur (kepercayaan nasib tuah/malang)."
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kebimbangan yang ada dalam dada mereka itulah yang sering menghalang mereka (untuk melakukan sesuatu). Maka janganlah halang mereka."
Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami berkata, "Dahulu aku mempunyai hamba wanita yang menggembala kambing di depan gunung Uhud dan al-Jawwaniyah.
Pada suatu hari, aku memeriksanya. Ternyata seekor serigala telah menangkap seekor kambing daripada gembalaannya.
Aku adalah lelaki daripada keturunan bani Adam yang boleh marah sebagaimana orang lain juga boleh marah. Tetapi aku menamparnya sekali.
Lalu aku berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Dan Rasulullah s.a.w. menganggap tamparan itu adalah masalah besar.
Aku berkata, "(Untuk menebus kesalahanku), tidakkah lebih baik aku memerdekakannya?"
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bawalah dia kepadaku."
Lalu Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami membawanya mengadap Rasulullah s.a.w.
Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, "Di manakah Allah?"
Hamba itu menjawab, "Di langit."
Rasulullah s.a.w. bertanya, "Siapakah aku?"
Hamba itu menjawab, "Kamu adalah utusan Allah."
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bebaskanlah dia. Kerana dia seorang wanita mukminah."
(Hadith Muslim no. 836)
Nota penting: Untuk pemahaman yang lebih baik, sila rujuk nasihat pakar (ulama, ustaz atau yang setaraf dengannya)
|