CENDERAKENANGAN: Nizam (tengah) menerima cenderakenangan daripada Mohammad Pauzi.
TAWAU: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terus relevan dalam membantu semua pasukan keselamatan khasnya bagi mengekang aktiviti jenayah di negara ini.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan RELA di negara ini cukup besar kerana banyak kejayaan yang sudah dilakar selama ini.
“Saya melihat kewujudan RELA banyak membantu pasukan keselamatan seperti pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita mahukan masyarakat di daerah ini terutamanya golongan belia untuk menjadi ahli RELA supaya dapat memberikan sumbangan kepada negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian semasa merasmikan Taklimat Asas Pengenalan RELA siri 1/2021, di Kampung Batu Payung, di sini semalam.
Menurutnya, masyarakat yang tinggal di persisir pantai perlu didedahkan dengan ilmu keselamatan supaya mereka boleh menjadi mata dan telinga pasukan penguatkuasa.
“Kita mahukan semua aktiviti jenayah terutamanya rentas sempadan dapat dibanteras dengan segera supaya rakyat boleh hidup dengan sejahtera dan makmur.
“Justeru, penduduk di Kampung Batu Payung, Membalua dan Tinagat perlu mengambil peluang untuk menjadi ahli RELA yang merupakan platform dalam membantu kerajaan secara sukarela,” katanya.
Nizam turut menzahirkan rasa gembira kerana sambutan penduduk di daerah ini untuk menjadi ahli RELA sangat menggalakan.
“Kita suda mula melihat ramai anak muda yang turut menyumbang tenaga dan masa untuk menjadi ahli RELA,”katanya.
Sementara itu, Pengarah RELA Negeri Sabah, Mohammad Pauzi Jhumat berkata taklimat ini bertujuan untuk merekrut ahli baharu RELA.
Katanya, taklimat yang dijalankan selamat dua hari ini adalah bertujuan untuk menerangkan fungsi dan peranan anggota RELA.
“Taklimat tersebut sangat perlu supaya setiap ahli dapat tahu tugas dan peranan sebenar mereka dan skop penugasan yang akan dilakukan.
“Kita perlu melahirkan lebih ramai ahli RELA di negeri ini terutamanya di kawasan perkampungan persisir pantai bagi menjaga keselamatan daripada ancaman penjenayah,” katanya.
Selain itu, katanya, anggota RELA juga berfungsi sebagai penyampai dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat di negara ini.
“Kita membantu kerajaan setiap masa seperti yang dilakukan ketika ini iaitu penugasan RELA mendidik masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19,” katanya.
Mohammad Pauzi berkata kejayaan yang dilakukan oleh ahli RELA di kawasan Kampung Batu Payung, Membalua dan Tinagat selama ini perlu mendapat pujian.
“Justeru, kita akan wujudkan sebuah pondok RELA di Kampung Batu Payung supaya penugasan ahli lebih sistematik dan teratur,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/06
|