Kubang Pasu: Cuti sempena perayaan Deepavali disambut dengan cara unik apabila lebih 100 keluarga petani di Ayer Hitam menyertai acara sukan rakyat dan sukaneka di Kampung Pida 8 Tebengau, di sini, hari ini.
Bagai mengimbau kenangan lama, permainan tuju tin, tuju botol air menggunakan buah kelapa, berlari dalam sawah, memancing serta menyerkap ikan menjadi antara aktiviti di dalam program Jom Turun Bendang itu.
Penganjur yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Siputeh, Hayazi Azizan berkata, program itu bertujuan mendedahkan golongan muda untuk menghayati hidup 'Pak Tani' yang sering bergelumang dengan selut selain bermain dengan permainan di zaman tanpa gajet.
"Pesawah dahulu selepas musim menuai, mereka akan mengisi masa lapang dengan aktiviti memancing dan menyerkap ikan sebelum memulakan aktiviti menabur benih.
"Jadi, kita mahu kembali hidupkan aktiviti seumpamanya di samping peserta dapat mengeratkan silaturahim sesama mereka.
"Walaupun hadiahnya cuma hamper dan peralatan elektrik biasa, ia tidak boleh dibandingkan dengan pengalaman unik mereka lalui hari ini," katanya ketika ditemui, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Othman Aziz yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan.
Hayazi berkata, aktiviti itu bermula pada 8 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan pembabitan penduduk sekitar.
Katanya, acara dimulakan dengan pertandingan memancing manakala peserta kanak-kanak bermain permainan tuju tin menggunakan selipar dan tuju botol menggunakan buah kelapa.
"Selepas itu, acara larian dalam sawah sebelum melepaskan 30 kilogram (kg) ikan haruan serta 5kg ikan keli di dalam sawah untuk acara menyerkap ikan.
"Peserta dihadkan tidak melebihi 10 orang bagi satu acara dan acara tidak melebihi sejam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana kita mendapatkan kebenaran daripada polis dan Pejabat Belia dan Sukan Kubang Pasu untuk menganjurkan aktiviti ini," katanya.