[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 23, 2021 @ 1:18pm[email protected]
BUTTERWORTH: Mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam sebuah tong sampah di Flat Taman Bagan, di sini, hari ini.
Mayat itu disedari seorang wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang membuat kerja-kerja pembersihan bersama dua lelaki warga asing di kawasan berkenaan jam 9.30 pagi.
Menurut sumber, wakil KRT bersama dua warga asing itu menemui bayi berkenaan dalam keadaan tidak bergerak lalu menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
"Mayat itu ditemui dalam tonng sampah. Bayi dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan berbalut sehelai kain," katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, usaha untuk mencari penduduk yang dipercayai baru bersalin atau yang diketahui hamil juga sedang diusahakan dengan bantuan penduduk setempat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, siasatan lanjut berhubung insiden itu sedang dijalankan.