[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - Oktober 22, 2021 @ 3:27pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhkandaq22-o_1634893390.jpg)
Suasana di restoran nasi kandar di Lebuh Campbell, Pulau Pinang yang menjadi tumpuan pengunjung selepas rentas negeri dibenarkan. - NSTP/ ZUHAINY ZULKIFFLI
GEORGETOWN: Di sebalik kenikmatan nasi kandar di Pulau Pinang yang kembali menjadi tumpuan penggemar dari seluruh negara, ada keadaan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengusaha restorannya.
Tawaran bekerja yang dibuka kepada rakyat tempatan tidak mendapat sambutan, sekali gus menyukarkan kelancaran operasi harian, termasuk menjejaskan perkhidmatan buat pelanggan
Jurucakap mewakili pengusaha restoran nasi kandar di negeri itu, Mohamed Rizwan Abd Ghafoor Khan, berkata warga tempatan tidak menjadi pembantu restoran premis nasi kandar.
"Kekurangan pekerja antara kekangan dihadapi kini dan kami bimbang jika tidak dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
"Keadaan pasti lebih meruncing menjelang akhir tahun apabila ramai mengambil peluang bercuti dalam keadaan semua orang sudah boleh merentas negeri," katanya di sini, hari ini.
Mohamed Rizwan berkata, ketika ini ada kira-kira 20,000 pekerja restoran nasi kandar di Pulau Pinang berbanding 40,000 orang sebelum pandemik COVID-19 melanda.
Susulan kebenaran rentas negeri, katanya, restoran nasi kandar di Pulau Pinang kembali dipenuhi pengunjung menyebabkan pekerja premis tidak menang tangan.
"Sekurang-kurangnya empat pekerja diperlukan bagi memantau prosedur operasi standard (SOP) sebelum masuk dan sepanjang berada dalam premis.
"Pada masa sama, mereka perlu melayan dan mengambil pesanan pelanggan.
"Kekangan ini menimbulkan kegusaran pengusaha dan memberi kesan terhadap perkhidmatan," katanya.
Mohamed Rizwan berkata, ada segelintir pengusaha restoran nasi kandar di negeri itu tidak memberi perkhidmatan 'dine-in' berikutan kekurangan pekerja dan sukar mengawal SOP pelanggan.
Sehubungan itu, mereka memohon kerajaan membenarkan semula pengambilan warga asing bagi sektor perkhidmatan terbabit bagi mengatasi masalah dihadapi.
Pemilik generasi ketujuh Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkoor, 66, berkata, sejak 11 Oktober lalu, restorannya menerima lebih 800 pelanggan sehari berbanding kira-kira 300 orang sebelum rentas negeri dibenarkan.
"Kini premis ini hanya mempunyai 20 pekerja manakala 30 lagi iaitu warga asing sudah dihantar pulang ke negara masing-masing berikutan pandemik COVID-19.
"Pelanggan perlu tunggu lama, kami nak pantau pergerakan dan SOP pelanggan juga tidak sempat kerana kekurangan pekerja," katanya.
Ahamed Seeni Pakir berkata, restoran berkenaan dikompaun RM10,000 pada 15 Oktober lalu atas kesalahan gagal memastikan pekerja mengimbas kod MySejahtera.
"Ada pekerja yang bersolat Jumaat pada hari itu dan suasana agak kelam-kabut bagi memeriksa SOP pelanggan, namun kami terima denda berkenaan dan akan membayarnya.
"Kami memohon Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi kelonggaran bagi memasang bumbung di siar kaki sebagai tempat berteduh kepada pelanggan yang beratur," katanya.