Nanta menyapa pengamal media yang hadir di majlis tersebut. - Gambar oleh Chimon Upon
KUCHING: Harga siling bagi Kit Ujian Pantas (RTK) antigen COVID-19 akan dikurangkan lagi sebelum 9 Disember ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memperhalusi perkara tersebut.
Menurutnya, usaha tersebut adalah untuk mengurangkan beban rakyat memandangkan penggunaan RTK adalah satu kewajipan.
"Kita faham, RTK sekarang adalah satu kewajipan selain pemeriksaan suhu badan terutamanya untuk sesuatu upacara yang dihadiri ramai orang.
"Oleh itu, harga siling bagi RTK ini akan dikurangkan lagi dari RM19.90 dan kita bersama dengan KKM sedang memperhalusi perkara ini memandangkan RTK juga di bawah Medical Device Authorities (MDA) yang akan mengambil kira kualiti produk," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Ramah Mesra Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna bersama Media, hari ini.
"Terima kasih juga kepada peniaga yang menjual RTK ini di bawah harga siling yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan untuk memastikan semua peniaga mematuhi penjualan kit ujian kendiri tersebut pada harga yang terkawal.
"Penguatkuasa kita akan sentiasa menjalankan pemeriksaan dan jangan marah mereka kerana mereka hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan. "Kepada peniaga yang masih berdegil, akan terus diambil tindakan," katanya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan harga siling RTK antigen COVID-19 sebanyak RM19.90 berkuatkuasa 5 September lalu.
utusanborneo.com.my/2021/10/21
|