[size=0.8]Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Oktober 19, 2021 @ 3:01pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/benih_1634626857.jpg)
Sebahagian pesawah melakukan bantahan di Kampung Tempayan Pecah, Jerlun berikutan kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga menjejaskan jadual tanaman lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
KUBANG PASU: Badan Bertindak Petani MADA mendakwa berlaku sekali lagi kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga menjejaskan jadual tanaman lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.
Pengerusinya, Che Ani Mat Zain, berkata pihaknya kecewa apabila masalah pengagihan benih padi masih berterusan sejak tiga tahun kebelakangan ini selain tiada penyelesaian diambil kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Jelasnya, kerajaan sekali lagi mengubah kaedah pengagihan pada tahun ini, apabila 12 syarikat diberi hak mengeluarkan benih padi sah selepas berlaku masalah ketika Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menjadi pengedar tunggal tahun lalu.
"Kelewatan petani menerima benih padi sah sekali lagi berlaku tahun ini dan ia dijangka menjejaskan jadual tanaman kira-kira 110,000 hektar sawah di seluruh kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
"Sebagai contoh di kawasan Jerlun, lebih 1,000 petani tidak dapat memulakan musim tanaman baharu yang sepatutnya bermula 15 Oktober lalu, kerana kami belum menerima bekalan benih padi yang sepatutnya dihantar ke PPK.
"Pengedar jelas gagal menghantar benih padi yang diperlukan mengikut jadual tanaman ditetapkan pihak MADA dan kesannya terpaksa dihadapi petani yang sudah siap melakukan kerja membajak serta penyediaan tapak sawah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu lebih 20 pesawah dari PPK 12 Jerlun melakukan bantahan menuntut kerajaan segera menyelesaikan masalah agihan benih padi dan menolak varieti MR219 terus dibekalkan kepada mereka kerana ia didapati menjejaskan hasil pada musim lalu.
Mengulas lanjut, Che Ani berkata, benih padi MR219 mula diperkenal pada 2001, namun dihenti penggunaannya pada 2012 kerana mudah diserang penyakit pada daun dan tangkai sehingga menyebabkan pokok padi mudah rebah.
"Bagaimanapun varieti MR219 kembali digunakan pada 2019, walaupun Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tahu ia boleh menyebabkan kehilangan hasil tuaian sehingga 50 peratus kepada petani.
"Disebabkan itu, kami mendesak kerajaan menghentikan pengeluaran benih MR219 dan petani dibekalkan dengan pilihan benih padi yang lebih sesuai seperti Seri Waja MR315 atau MARDI Sempadan 302, Sebemas 307 dan Siraj 297.
"Selain itu, tindakan tegas juga perlu diambil ke atas pengedar yang menyeleweng harga benih padi serta peniaga yang mengambil kesempatan menjual benih padi pada harga yang tinggi di pasaran terbuka," katanya.
Sementara itu, petani, Syafie Said, 66, berkata pesawah di kawasan PPK 12 Jerlun memerlukan kira-kira 34,000 beg benih padi bagi memulakan musim menanam baharu pada bulan ini.
"Sepatutnya pengedar hantar benih padi ke PPK 12 Jerlun dua minggu lalu, tetapi sehingga hari ini pihak PPK memaklumkan belum terima kerana ada masalah di pihak pembekal menyebabkan musim menanam tidak dapat dimulakan lagi.
"Apa yang menghairankan, benih padi ada pula dijual di kedai pembekal peralatan pertanian, namun harganya melambung sehingga RM48 seguni seberat 20 kilogram sedangkan harga jualan sepatutnya cuma RM33," katanya.
Seorang lagi petani, Ramli Omar, 75, berkata penggunaan benih padi MR219 memberi kesan amat besar kepada hasil tuaiannya apabila hanya mampu mendapat hasil kira-kira 4.5 tan sehektar pada musim lalu.
"Secara purata pesawah di kawasan ini sepatutnya boleh mendapat hasil purata tujuh tan padi sehektar seperti yang pernah diterima sebelum ini, tetapi sejak kami dibekalkan varieti MR219, pelbagai masalah berlaku.
"Selain itu, kami turut berhadapan masalah kenaikan harga racun sehingga 60 peratus menyebabkan keuntungan jualan padi tidak mampu menampung pelbagai kos yang perlu ditanggung pesawah," katanya.