FILEM yang diadapatasi daripada novel karya Habiburahman El-Shirazy ini mendapat sambutan luar biasa, malah masih diputar di pawagam di seluruh Indonesia.
Ditonton lebih empat juta penonton, Ayat Ayat Cinta diakui antara filem cinta berteraskan Islam yang memberi nuansa baru dalam produksi layar lebar.
Sebagai pelengkap kepada sebuah produksi yang baik, filem ini turut menghadirkan sebuah runut bunyi dengan tanggungjawab sepenuhnya diserahkan kepada Yonathan Nugroho.
Kebanyakan lagu dalam runut bunyi ini berirama perlahan, serasi mendukung jalan cerita filem yang bercerita mengenai cinta yang berakhir dengan kebahagiaan.
Menampilkan lima lagu, tiga daripadanya adalah sentuhan terbaru manakala dua lagi diberi nafas berbeza termasuk versi akustik untuk lagu ciptaan Oncy, Tercipta Untukku yang pernah dipopularkan Ungu.
Bagaimanapun, untuk runut bunyi ini lagu itu turut menampilkan penyanyi yang baru meraih anugerah Artis Wanita Terbaik, Anugerah Musik Indonesia (AMI), Rossa berpadu suara dengan Pasha memberikan sesuatu yang berbeza namun masih enak dinikmati.
Rossa sendiri tampil dengan dua lagu terbaru sentuhan Melly Goeslaw, Ayat-Ayat Cinta dan Takdir Cinta.
Dua sentuhan yang cukup untuk menyerlahkan identiti muzik ciptaan Melly, tanpa perlu penjelasan kerana gaya sentuhannya yang sangat ketara.
Malah sentuhan Melly yang terbukti kelebihannya menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta dan Tentang Dia dijangka mampu mengulangi populariti yang dikecapi dua runut bunyi terdahulu meskipun Ayat Ayat Cinta dan Takdir Cinta mengetengahkan tema lebih berat serta matang.
Melly bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Rossa yang mempunyai kekuatan dalam penyampaiannya. Nyanyian Rossa yang membuai perasaan membantu memberi kekuatan kepada dua lagu berkenaan.
Album ini turut menampilkan penyanyi cilik yang sedang meniti usia remaja, Sherina Munaf yang mempersembahkan lagu ciptaannya sendiri, Jalan Cinta.
Merentasi dunia seni yang agak panjang, kematangan penyampaian Sherina berjaya meresap menerusi alunan suaranya yang menyerlahkan kedewasaan.