View: 2353|Reply: 0
|
Bolehkah dedah keburukan orang lain?
[Copy link]
|
|
Bolehkah dedah keburukan orang lain?
MENDEDAHKAN keburukan peribadi seseorang memberikan kesan emosi yang teruk terhadap mangsa.
Pada era media sosial kini, keaiban dan keburukan peribadi seseorang kelihatan mudah menjadi isu menarik perhatian ramai. Ini disebabkan tabiat sesetengah orang suka menyebarkan apa sahaja yang berlaku dan disambut pula oleh naluri manusia yang biasanya ingin mengetahui apa yang terjadi. Lebih membimbangkan jika di sebalik perkara itu sebenarnya terdapat agenda dan kepentingan peribadi pihak tertentu. Apatah lagi jika melibatkan orang yang mempunyai nama besar dan dikenali masyarakat.
Secara umum, mendedahkan aib orang lain tanpa hak bukanlah akhlak seorang Muslim. Untuk membendung gejala ini, pelbagai kaedah digunakan oleh syarak, antaranya memberi galakan kepada manusia supaya segera menutup keaiban orang lain.
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW, sabdanya: "Tiada seorang hamba pun yang menutupi aib seorang hamba yang lain di dunia melainkan Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat kelak." Riwayat Muslim
Meskipun seorang muslim asalnya tidak boleh mendedahkan keaiban saudaranya, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin menjelaskan terdapat enam keadaan yang mengharuskan seseorang mendedahkan keburukan orang lain iaitu pengaduan orang yang dizalimi, pengaduan demi mencegah kemungkaran, pengaduan untuk mendapatkan fatwa, peringatan terhadap seorang Muslim mengenai keburukan seseorang yang sudah diketahui, nama panggilan seseorang terkait dengan kecacatan atau keaiban dirinya, namun diterima baik olehnya dan perbuatan orang mendedahkan kefasikan dirinya sendiri secara terang-terangan. Maka, jelas kita tidak dibenarkan mendedahkan keaiban seseorang melainkan
jika dia sendiri yang mendedahkannya. Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah RA berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Setiap umatku itu dimaafkan kecuali mereka yang secara terang mendedahkan keburukan mereka sendiri. Sesungguhnya termasuk perbuatan mendedahkan keburukan sendiri itu ialah apabila seseorang melakukan sesuatu perbuatan dosa pada waktu malam kemudian pada sebelah paginya ketika Allah menutupi keburukannya itu, lantas dia berkata: 'Hai fulan, malam tadi aku melakukan demikian dan demikian.' Padahal semalaman itu Allah telah menutupi keburukannya, namun pada sebelah pagi dia sendiri yang membuka tutupan Allah terhadapnya itu.'" Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Keburukan atau perkara maksiat yang dilakukan secara bersembunyi tanpa diketahui orang lain mungkin akan diampunkan oleh Allah SWT dengan bertaubat kepada-Nya. Namun, jika pelaku sendiri mendedahkannya dengan penuh rasa bangga dan seronok pula maka kemurkaan Allah SWT terhadapnya pastilah lebih besar.
Orang yang cuba mengorek keaiban saudaranya yang disembunyikan akan dibalas oleh Allah SWT dengan hukuman selayaknya. Daripada Ibn Abbas RA daripada Nabi SAW, sabdanya: "Sesiapa yang menutupi aurat saudaranya, Allah akan menutupi auratnya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang membuka aurat saudaranya yang Muslim, Allah akan membuka auratnya sehingga mampu memalukannya dalam rumahnya sendiri." Riwayat Ibn Majah dengan sanad hasan
Adapun orang yang dianiaya atau dizalimi memang menjadi haknya untuk membela diri serta membuat aduan mengenai orang yang menzaliminya. Bagaimanapun, jika orang yang diadukan itu menafikan dan mengatakannya sebagai suatu tuduhan fitnah, perkara ini memerlukan perbicaraan mahkamah serta menjadi hak mahkamah pula untuk memutuskannya. Oleh itu, perbuatan orang lain mencanang keburukan yang belum pasti jelas termasuk perbuatan dilarang syarak dan berdosa orang yang melakukannya. Dia perlu bertaubat dan memohon maaf kepada orang yang dituduh itu.
Ingatlah, terdapat peribahasa Melayu menyebut: 'Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak". Peribahasa ini bemaksud keburukan orang lain biarpun kecil, boleh nampak, tetapi keburukan sendiri tidak disedari. Menariknya, peribahasa Melayu ini tidak jauh dengan maksud sebuah hadis Nabi SAW sabdanya: "Seseorang daripada kamu boleh nampak habuk yang ada di mata saudaranya, namun dia lupa batang kurma yang ada di matanya sendiri." Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya
Kata Imam Ibn al-Athir dalam an-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar: "Ia adalah perumpamaan bagi orang yang melihat keaiban kecil pada orang lain serta memalukan mereka dengannya, sedangkan pada dirinya sendiri terdapat keaiban yang nisbahnya kepada dirinya adalah seperti nisbah sebatang pokok kurma kepada sebutir habuk."
Baginda Nabi SAW sentiasa mengajak kita supaya memuhasabah dan mengingatkan diri sendiri bahawa keaiban kita mungkin lebih banyak dan lebih besar daripada orang lain. Oleh itu, janganlah kita sibuk dengan keaiban dan keburukan peribadi orang lain.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|