Wanita warga emas ini dikatakan semakin beransur sihat.
SANDAKAN: Kisah seorang wanita warga emas berbangsa Cina yang sedang menerima rawatan akibat jangkitan Covid-19 dikatakan mahu memeluk agama Islam sebelum ditidurkan di sebuah hospital tular di media sosial, hari ini.
Ustaz Mohd Taufik Tee Abdullah menerusi laman Facebook hari ini memuat naik sebuah klip video memaparkan tiga jururawat berada di samping warga emas itu dengan seorang daripada mereka mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.
“Sebelum ditidurkan aunty (mak cik) ini minta disyahadahkan dua kalimah,” tulisnya dalam kapsyen hantaran tersebut malam ini.
Wanita itu kelihatan melafazkan kalimah suci itu satu persatu dengan agak lancar tanpa menghadapi masalah.
Dalam pada itu, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung dalam satu hantaran di laman Facebook beliau berkata, warga emas itu semakin beransur sihat dan dia tidak ditidurkan.
“Seorang daripada anaknya juga telah lebih awal memeluk Islam. Kejadian ini dikatakan berlaku di Hospital Duchess of Kent, Sandakan di Sabah,” tulisnya.
Tangkap layar komen seorang wanita yang mengaku warga emas berkenaan merupakan ibu mertuanya.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen seorang pemilik akaun Facebook bernama Azlinah Awlynn tampil mengaku dirinya merupakan menantu kepada warga emas itu.
Menurut wanita itu, ibu mertuanya kian beransur pulih meskipun sebelum ini disahkan doktor berada dalam fasa kritikal.
“Ini adalah niat ibu mertua sebelum disahkan menghidap Covid-19 tahap 5. Alhamdulillah dengan bantuan Biro Agama Hospital Duchess of Kent niat untuk memeluk Islam dipermudahkan. Terima kasih yang mendoakan semoga Allah melindungi kalian semua,” tulisnya.
Kebanyakan netizen menyifatkan wanita itu sangat beruntung kerana diberi hidayah dan mendoakan kesembuhan wanita itu.
“Moga Allah permudahkan beliau untuk mendalami ilmu agama. Terima kasih barisan hadapan. Jasa anda amat besar ganjaranya,” komen Mohd Pilus.
“Jika ada kenalan atau sahabat kita menyatakan hasrat memeluk Islam dengan reda, maka waktu itu juga kita ajar dia mengucap. Tidak kira di padang bola atau kedai kopi perlu disegerakan. Lepas itu baru pergi ke institusi berkenaan,” saran Herman Sainal.
“Setuju. Lagi bagus kalau ada saksi dan bukti rakaman sekiranya berlaku pertikaian. Tetapi yang utama insan itu betul-betul faham apa yang diucapkannya,” sokong Izzati Manap.
“Mak cik umpama bayi yang suci baru lahir. Alhamdulillah. Tahniah mak cik. Semoga sembuh dan sihat daripada Covid-19,” kata Iziza Absha.
“Apa yang penting bersihkan hati selalu. Sebab hati yang menentukan bagaimana pengakhiran seseorang bukan asalnya. Moga kita semua mendapat husnul khatimah (pengakhiran yang baik),” tulis Ann Fardan. – K! Online