|
Kuala Lumpur: Keutamaan adalah pasukan Malaysia. Itu penjelasan pemain muda, Owen Teo yang dikaitkan dengan skuad kebangsaan China.
Owen yang bakal menyertai kelab Croatia, NK Precko Zagreb berkata, terdapat pihak tertentu dari negara berkenaan yang merisik berkaitan status dan mahu mengetahui beberapa maklumat lain terutama berkaitan kewarganegaraannya serta pertalian darah dengan negara Tembok Besar China itu.
Namun, dia menyangkal sudah ditawarkan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan China selain turut menafikan dirinya tidak lagi mahu beraksi bersama pasukan Harimau Malaya. "Saya sudah beritahu semua bahawa keutamaan adalah untuk menyarung jersi Malaysia namun jika terlalu lama tak guna untuk tunggu lagi.
"Ada salah faham, saya bukannya ditawarkan untuk beraksi bersama China cuma mereka ada bertanya mengenai beberapa perkara terutama berkaitan status terkini ketika ini.
"Jika diikutkan, saya perlu menjalani sesi pemilihan yang akan dipantau oleh barisan kejurulatihan mereka sebelum ditawarkan beraksi bersama skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Owen turut menyatakan kekesalan dengan tindakan segelintir netizen yang meninggalkan komen perkauman sebaik dia memuat naik status berkenaan.
"Saya berbangga sebagai rakyat Malaysia dan sentiasa bersedia memberikan komitmen tinggi jika diberikan peluang mewakili negara. Cuma agak sedih apabila ada segelintir pihak yang salah tafsir status berkenaan kerana sehingga kini saya masih menunggu panggilan skuad kebangsaan," katanya - HMetro
|
|