View: 1199|Reply: 1
|
Perebutan juara Liga Perdana 'panas'
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Jika Liga Super terpaksa menunggu perlawanan terakhir untuk penentuan naib juara dan tempat ketiga, lain pula situasi membabitkan Liga Perdana apabila kedudukan juara masih lagi terbuka membabitkan tiga pasukan iaitu Negeri Sembilan FC (NSFC), Sarawak United dan Terengganu II.
Penentuan kejuaraan Liga Perdana akan ditentukan pada perlawanan terakhir selepas NSFC berjaya merampas kembali kedudukan pendahulu daripada Sarawak United FC, hasil kemenangan tipis 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Penyerang import Negeri Sembilan, Francis Kone yang sebelum itu terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit-70, muncul wira pasukan dengan gol kemenangan pada minit-90.
Tiga mata berharga yang diraih di Cheras sekali gus menyaksikan pengendali NSFC, K Devan cukup optimis peluang mereka untuk merangkul kejuaraan buat pasukan itu semakin cerah dengan aksi terakhir pada 21 September menentang PDRM FC bakal berlangsung di laman sendiri.
"Sememangnya persembahan yang baik buat NSFC kerana fokus serta konsentrasi mereka begitu baik pada situasi bertahan terutama di separuh masa pertama apabila Sarawak lebih banyak menguasai permainan.
"Perlawanan terakhir di Paroi dengan PDRM, saya yakin dengan prestasi pasukan sejak kebelakangan ini, apabila kami menang di tempat sendiri dan lawan seperti ke atas Kuching City FC tempoh hari, kami berpeluang meraih kejuaraan Liga Perdana," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak United, E Elavarasan berkata, beliau terpaksa menerima hakikat keputusan tidak memihak kepada pasukannya, namun tetap optimis peluang untuk meraih kejuaraan masih terbuka.
"Bola itu bulat, apa-apa boleh terjadi dan selepas habis semua perlawanan, baru kami tahu apa yang akan terjadi memandangkan Negeri Sembilan akan berjumpa dengan PDRM. "PDRM juga mahu layak ke Piala Malaysia serta berada dalam kedudukan lebih baik, sementara penyerang NSFC (Francis Kone) juga digantung, kita tidak tahu apa yang akan terjadi.
"Kami pula akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT II), satu lawan yang cukup baik biarpun mereka ialah pasukan simpanan tetapi selalu berlaku penukaran pemain dengan pasukan utama, jadi mereka pasti akan hadirkan tentangan sengit kepada kami pada perlawanan terakhir, " katanya.
Selain NSFC dan Sarawak United, Terengganu FC II juga masih punyai peluang untuk meraih kejuaraan Liga Perdana apabila menang besar 4-1 ke atas Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Meraih 32 mata, Terengganu FC II perlu menang pada baki dua perlawanan yang tinggal selain mengharapkan Negeri Sembilan dan Sarawak United tewas pada perlawanan terakhir. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
PEMAIN Sarawak United, Uche Agba diasak pemain Negeri Sembilan FC, Arthur Cunha Da Rocha. FOTO Bernama |
|
|
|
|
|
|
| |
|