View: 2478|Reply: 1
|
Mimpi bukan hujah dalam syarak
[Copy link]
|
|
Mimpi bukan hujah dalam syarak
NABI SAW memerintahkan umatnya agar tidak menceritakan mimpi yang buruk kepada orang lain.
Tular baru-baru ini seorang wanita mendakwa bertemu Tuhan dan malaikat, pergi melawat syurga dan neraka serta tahu tarikh berlaku Perang Dunia Ketiga malah huru-hara di seluruh dunia. Pelbagai lagi dakwaan dilontarkan olehnya dengan nada cukup yakin dan pasti terhadap apa yang disebarkan. Apa yang menghairankan dan melucukan semuanya itu hanya diperoleh melalui mimpi.
Sedangkan mimpi bukanlah hujah yang dapat dipertanggungjawabkan. Paling tidak, mimpi hanya bertindak sebagai petunjuk kepada diri pemimpi terhadap sesuatu perkara yang baik atau sesuatu perkara buruk. Kadang-kadang ia bersifat simbolik yang memerlukan kepada pentafsiran. Namun, kebanyakan mimpi hanyalah permainan tidur yang tidak mengandungi apa-apa makna.
Menjadikan mimpi sebagai hujah dan pegangan untuk bertindak serius dengan menguar-uarkannya sehingga menyebabkan kegelisahan awam bukanlah perkara yang diperintahkan oleh syarak. Ini kerana mimpi selain daripada mimpi sekalian nabi AS, bukannya wahyu dan pemimpi juga tentunya bukan orang yang maksum. Oleh itu, tiada jaminan kemaksuman pada mimpinya. Malah tidak dapat dipastikan adakah mimpinya itu datang daripada syaitan, permainan tidur atau daripada Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: "Mimpi itu ada tiga jenis iaitu mimpi yang baik sebagai khabar gembira daripada Allah, mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya daripada syaitan dan mimpi yang timbul kerana khayalan seseorang. Maka, jika seseorang kamu bermimpi sesuatu yang dia tidak senangi maka bangunlah dan bersolatlah serta jangan menceritakannya kepada orang lain." Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Jelas dalam hadis ini, Nabi SAW memerintahkan umatnya agar tidak menceritakan mimpi yang buruk kepada orang lain. Pernah seorang Arab Badwi datang kepada Rasulullah SAW berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi kepalaku dipotong dan aku pula mengekorinya." Lalu Nabi SAW pun menegurnya dan bersabda: "Janganlah kamu menceritakan tentang permainan syaitan denganmu di dalam mimpi." Riwayat Muslim
Menceritakan mimpi yang buruk kepada orang lain jelas menyalahi sunah Nabi SAW. Sewajarnya orang yang bermimpi itu melakukan seperti ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam sabdanya: "Mimpi yang baik adalah daripada Allah maka jika seorang daripada kamu bermimpi sesuatu yang disukainya maka janganlah menceritakannya melainkan kepada orang yang disukainya. Dan jika dia bermimpi sesuatu yang tidak disukainya, hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada kejahatannya dan daripada kejahatan syaitan. Dan hendaklah dia mengisyarat ludah tiga kali ke sebelah kirinya dan jangan menceritakan kepada sesiapa pun maka sesungguhnya ia tidak akan membahayakannya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Mimpi yang baik boleh dijadikan sebagai pernyataan rasa senang hati (isti'nas) pemimpi terhadap sesuatu perkara atau pengukuhan terhadap sesuatu yang telah sedia maklum hujahnya. Namun, ia tidak dapat dijadikan sebagai dalil dan hujah baharu atau dijadikan sebagai kaedah ilmiah yang berasingan.
Kata al-Qadhi 'Iyadh ketika menjelaskan mimpi mengenai kedaifan perawi hadis bernama Aban: "Hal ini dan seumpamanya hanyalah pernyataan rasa senang (isti'nas) dan pengukuhan terhadap apa yang telah pun sedia maklum tentang kedaifan Aban. Bukannya ia memutuskan secara yakin berdasarkan suruhan mimpi itu. Ia juga tidak membatalkan dengan sebabnya sunah yang sudah sabit, mahupun menyabitkan melaluinya sunah yang tidak sabit. Ini adalah berdasarkan ijmak ulama."
Kata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyokong pernyataan itu: "Begitu juga yang dikatakan oleh selain beliau daripada kalangan sahabat kami dan lain-lain. Malah, mereka menukilkan kesepakatan ulama bahawa tidak dapat diubah apa yang telah pun ditetapkan dalam syarak disebabkan mimpi yang dilihat oleh seseorang."
Kata Imam al-Nawawi lagi: "Tidak harus mensabitkan suatu hukum syarak melalui mimpi kerana keadaan tidur itu bukanlah keadaan sedar dan benar-benar pasti terhadap apa yang didengari oleh orang yang bermimpi itu. Ulama turut bersepakat bahawa antara syarat orang yang diterima riwayatnya dan penyaksiannya adalah ia dalam keadaan sedar, tidak lalai, tidak buruk ingatan, tidak banyak kesilapan dan tidak hilang sifat prihatinnya. Sedangkan orang yang tidur tidak mempunyai sifat ini maka tidak boleh diterima riwayatnya disebabkan hilang sifat prihatinnya. Kesemuanya ini adalah berkenaan mimpi berkaitan dengan penetapan suatu hukum yang menyalahi apa yang dilaksanakan oleh pemerintah."
Secara ringkas, mimpi tidak dapat dijadikan sebagai dalil dan hujah, apatah lagi mimpi seseorang yang tidak maksum serta tiada ada sebarang jaminan padanya.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|