|
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) nyata tidak pernah duduk diam atau berpeluk tubuh apabila terus bekerja keras dalam mendapatkan lampu hijau dari pihak kerajaan untuk kemasukan penyokong ke stadium.
Usaha itu dilaksanakan oleh Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di pejabatnya, di Putrajaya, hari ini.
Jelas Ghani, ini adalah pertemuan pertama dengan Menteri Kesihatan itu yang turut berperanan besar dalam menentukan dan membenarkan kemasukan penyokong ke stadium.
Katanya, permohonan itu dibuat untuk penyokong yang sudah mengambil dua dos vaksin lengkap seperti mana amalan di negara lain.
"Pada kesempatan itu, MFL menyerahkan permohonan mengenai cadangan prosedur operasi standard (SOP) Liga Malaysia 2021 termasuk kebenaran untuk kemasukan semula penyokong yang sudah mengambil dua dos vaksin.
"Selain itu Khairy Jamaluddin yang juga mantan Menteri Belia dan Sukan turut diberikan penjelasan berkenaan perkembangan Liga Malaysia 2021 yang sudah bermula sejak 5 Mac 2021 menerusi SOP ketat seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan," katanya.
Pada Mac lalu, Kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium dengan menggariskan syarat dan SOP yang ketat buat penyokong tempatan selepas musim lalu kempen Liga M dijalankan tanpa kehadiran 'pemain ke-12'.
Namun pada pertengahan musim ini, kelebihan itu kemudiannya ditarik balik oleh MKN berikutan peningkatan kes Covid-19 yang melonjak secara tiba-tiba di seluruh negara. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
AB Ghani (kanan) bertemu Khairy Jamaluddin. FOTO Ihsan MFL |
|
|
|
|
|
|
| |
|