[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 2, 2021 @ 5:05pm[email protected]
Keadaan arus deras disebabkan fenomena kepala air yang berlaku di kawasan Titi Hayun susulan hujan lebat di kawasan itu hari ini. - Foto ihsan pembaca
YAN: Fenomena kepala air dilapor berlaku di Titi Hayun, di sini, berikutan hujan lebat menyebabkan arus deras dan limpahan air di kawasan sekitarnya hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata bagaimanapun kejadian kepala air itu tidak seteruk tragedi yang berlaku pada 18 Ogos lalu.
Setakat ini, katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak masih melakukan pemantauan di kawasan itu sejak 11.15 pagi tadi.
"Keadaan air masih terkawal dan kami turut memberi peringatan kepada penduduk di kawasan sekitar supaya berhati-hati.
"Seramai enam anggota dan pegawai dari BBP Guar Chempedak berada di lokasi bagi melakukan pemantauan setiap empat jam, terutama di kawasan berisiko," katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian 18 Ogos lalu, fenomena kepala air berlaku di kawasan kaki Gunung Jerai membabitkan Titi Hayun dan Batu Hampar menyebabkan enam mangsa meninggal dunia akibat dibawa arus deras.
Kejadian berkenaan menyebabkan beberapa kampung di kawasan berhampiran ditenggelami banjir lumpur, termasuk di kawasan Merbok di Kuala Muda.