[size=0.8]Oleh Noorazura Abdul Rahman - Ogos 26, 2021 @ 3:45pm[email protected]
Semua pusat rekreasi di Gunung Jerai, Batu Hampar, Titi Hayun dan Sri Perigi ditutup kepada pengunjung luar mulai semalam berikutan kejadian fenomena kepala air minggu lalu. - Gambar fail NSTP
ALOR SETAR: Semua pusat rekreasi di Gunung Jerai, Batu Hampar, Titi Hayun dan Sri Perigi ditutup kepada pengunjung luar mulai semalam berikutan kejadian fenomena kepala air minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata semua kawasan itu ditutup berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
"Bahaya sekarang ini, kita takut berlaku kemalangan jiwa, semua itu kawasan orang mandi manda.
"Sekarang pula musim hujan, ia boleh menyebabkan tanah runtuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, menurut kenyataan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Yan, tiada sebarang aktiviti pengunjung luar yang dibenarkan ke kawasan itu selepas kejadian banjir kilat, fenomena kepala air dan tanah runtuh.
"Pihak berkuasa juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan ini," kata kenyataan itu.
Pada 18 Ogos lalu, enam mangsa menjadi korban fenomena kepala air dari Gunung Jerai.
Banjir itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 di daerah Kuala Muda.
Dalam pada itu, Dr Mohd Hayati, berkata seramai 619,577 atau 40.2 peratus penduduk yang berusia 18 tahun ke atas di Kedah sudah lengkap divaksin sehingga semalam.
Katanya, jumlah individu yang menerima satu dos vaksin di Kedah pula mencapai 987,048 atau 64.1 peratus.
"Ini bermakna jumlah kumalitif individu yang menerima suntikan vaksin sehingga semalam ialah 1,606,625.
"Kita menjangkakan Kedah akan mencapai 50 peratus individu yang sudah lengkap vaksin pada minggu depan," katanya.