[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - Ogos 18, 2021 @ 10:31pm[email protected]
Keadaan banjir kilat di Kampung Sulup, Teluk Kumbar berikutan hujan lebat sejak petang tadi. - Foto MIKAIL ONG
BALIK PULAU: Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kampung di sini di naiki air kira-kira dua meter.
Antara lokasi yang terjejas ialah Titi Teras, Kampung Terang, Pulau Betong, Kampung Kongsi, Kampung Genting, Sungai Burung dan Jalan Bharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail berkata, hujan lebat sejak pagi tadi menyebabkan lebih 100 rumah dinaiki air bermula kira-kira jam 5 petang.
Katanya, setakat ini bilik gerakan sudah ditubuhkan susulan kejadian berkenaan.
"Setakat ini yang dikenal pasti, lebih 100 rumah penduduk di kampung berkenaan terjejas.
"Bilik gerakan sudah ada tetapi tiada lagi pusat pemindahan dibuka setakat ini," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, penduduk, Mohd Nazri Kamarudin, 30, berkata mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah kerana air naik begitu cepat.
Malah rumah bapanya di Kampung Terang juga mengalami keadaan yang sama.
"Kali terakhir kawasan ini dinaiki air ialah kira-kira dua tahun lalu dan tidak sangka kali ini keadaannya lebih buruk.
"Semua barangan terutama perabot dan beberapa barangan penting juga tidak dapat diselamatkan," katanya lagi.
Sementara itu di Teluk Kumbar, satu pusat pemindahan transit bagi mangsa banjir dibuka setakat jam 6 petang tadi.
ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, pusat pemindahan transit berkenaan dibuka di Dewan Al Barakah, Masjid Maqbul Teluk Kumbar.
"Banjir kilat yang agak luar biasa ini menjejaskan sekitar 300 buah keluarga. Ia dipercayai berpunca daripada hujan yang lebat dan berpanjangan," katanya di sini.