[size=0.8]Oleh Noorazura Abdul Rahman - Ogos 18, 2021 @ 11:03am[email protected]
Individuyang menjadi kontak rapat kes positif COVID-19 tampil melakukan ujian saringan di pusat kesihatan terdekat untuk mengawal jangkitan daripada terus merebak.- Foto hiasan NSTP
ALOR SETAR: Sikap segelintir kontak rapat pesakit COVID-19 yang 'liat' menjalani ujian saringan membimbangkan sehingga memaksa petugas kesihatan pergi 'menjemput' mereka di rumah masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata keadaan itu boleh menyebabkan lebih ramai individu dijangkiti COVID-19 selain membebankan tugas kakitangan kesihatan.
"Saya berharap mereka yang menjadi kontak rapat kes positif COVID-19 tampil melakukan ujian saringan di pusat kesihatan terdekat untuk mengawal jangkitan daripada terus merebak.
"Ini kerana sekiranya mereka tidak dipastikan dijangkiti atau tidak, mereka akan pergi merata tempat dan ini boleh memberi risiko kepada orang lain andainya mereka sama positif," katanya kepada BH, hari ini.
Dr Mohd Hayati berkata, individu yang kontak rapat seharusnya lebih peka dan memahami tugas kakitangan barisan hadapan yang sibuk menguruskan pesakit COVID-19 selain ditugaskan memberi suntikan vaksin.
"Petugas kesihatan sibuk setiap hari, mereka perlu bantu beri vaksin dan untuk buat ujian saringan kini terpaksa pergi ke rumah individu yang menjadi kontak rapat pula," katanya.
Semalam, Kedah mencatatkan kes COVID-19 sebanyak 1,863 dengan Kulim mencatat kes tertinggi iaitu 552 diikuti Kota Setar (418) dan Kuala Muda (284).