LANGKAWI: Langkah menjadikan Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan yang diumumkan kerajaan hari ini, melegakan penggiat industrinya. Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainuddin Kadir, berkata pengumuman itu seiring hasrat LTA mahu sektor pelancongan di pulau itu dibuka semula pada 1 September ini. "Ini adalah satu kelegaan besar kepada pemain industri pelancongan di Langkawi yang rata-rata berada dalam 'mood' sudah bersedia untuk menyambut pelancong. "Lebih setahun kami sengsara tiada pendapatan, jadi pembukaan semula sektor pelancongan pada 1 September ini, boleh menjadi penyelamat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Zainuddin berkata, LTA dimaklumkan industri pelancongan di Langkawi mengalami kerugian kira-kira RM1.7 bilion sepanjang tahun ini akibat COVID-19. "Malah, kemerosotan kedatangan pelancong yang teruk sejak Mac lalu apabila sekadar mencatat seramai 1.16 juta berbanding 3.96 juta yang dicatatkan tahun lalu. "Jadi, sektor pelancongan pulau ini perlu dibuka segera sebaik sasaran imuniti kelompok 80 peratus dijangka dicapai pada akhir bulan ini," katanya. Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat berkata, pengusaha hotel di Langkawi juga sudah bersedia menerima kehadiran pelancong. "Lebih 90 peratus kakitangan hotel bawah naungan MAH sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19,selain menjalani proses sanitasi bagi fasiliti dan semua bilik hotel. "Pada masa sama, pihak hotel sentiasa bersedia dan akan memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara bagi mencegah COVID-19," katanya. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, mengumumkan untuk mempertimbangkan perancangan menjadikan Pulau Langkawi sebagai sebahagian projek perintis destinasi gelembung pelancongan. "Kementerian Kesihatan (KKM) serta pakar kesihatan sudah menyarankan kerajaan supaya melaksanakan perancangan ini hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Pulau Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya. "Kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap," katanya dalam kenyataan itu.
|