|
Kuala Terengganu: Mendapat cahaya mata kedua membakar lagi semangat arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck untuk membantu pasukannya memburu slot ke pentas Piala AFC musim depan.
Malah pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu akui tidak sabar untuk membuat penampilan pertamanya musim ini bersama TFC menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 21 Ogos ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak selepas kembali pulih daripada kecederaan.
Pemain pinjaman daripada pasukan Sri Pahang FC itu mendapat anak kedua selepas isterinya, Georgia Madelela, 31 selamat melahirkan anak perempuan pada Isnin lalu di Hospital Salam, lebih manis kedua-dua anaknya lahir di Kuala Terengganu.
"Isteri saya melahirkan anak yang diberi nama Sienna Mae Tuck pada jam 9.45 pagi Isnin lalu, kehadirannya begitu dinantikan bagi menambah seri keluarga.
"Saya bersyukur kerana semuanya selamat, anak dan isteri sihat, pujian dan terima kasih kepada doktor dan jururawat di hospital berkenaan yang begitu hebat.
"Sekarang keluarga kami semakin besar, begitu juga karier bola sepak, saya kini mempunyai semangat baharu dan tidak sabar untuk kembali cergas bagi membantu pasukan menentang KDA FC bagi memburu tempat ke saingan Piala AFC musim depan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.
Pemain berusia 33 tahun itu yang mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 2017 ketika menyarung jersi Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke Terengganu bermula 2018 hingga 2020 dan ke Pahang awal musim ini mendapat cahaya mata pertama yang diberi nama Ruby Sofia pada 5 Mei 2019.
Tuck yang bakal kembali memperkuatkan pasukannya, Sri Pahang FC musim depan bakal menjadi pemain naturalisasi selepas mencukupi syarat yang ditetapkan dengan sekurang-kurangnya lima tahun beraksi dalam Liga M selepas dokumen untuk mengesahkannya sebagai pemain tempatan tidak ditemui biarpun mendakwa neneknya berasal dari Sabah.
HMetro
|
|