|
Sao Paulo: Bekas penyerang Atletico Madrid dan Chelsea, Diego Costa menandatangani kontrak dengan pendahulu liga Brazil, Atletico Mineiro, selepas kelab yang berpangkalan di Belo Horizonte itu membuat pengumuman hari ini.
Pemain berusia 32 tahun itu tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas kontraknya bersama Atletico berakhir Jun lalu.
Costa beraksi sebanyak tujuh kali musim lalu dengan meledak dua gol.
Kali terakhir dia beraksi pada 22 Disember tahun lalu, apabila dia menggantikan Luis Suarez pada minit ke-87 ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Real Sociedad dalam perlawanan La Liga.
Ia adalah kali kedua dia berpisah dengan Atletico, selepas meninggalkan kelab itu buat pertama kali ketika menyertai Chelsea selama tiga tahun.
Lahir di Lagarto, Costa pernah bermain sebanyak dua kali dalam aksi persahabatan bersama negara kelahirannya Brazil sebelum menukar kerakyatan dan beraksi sebanyak 24 kali untuk Sepanyol.
Dia akan menyertai rangkaian serangan yang sebelum ini dibarisi Hulk, Eduardo Sasha, Eduardo Vargas, Jefferson Savarino dan Ignacio Fernandez.
Atletico Mineiro sekarang ini memimpin liga Brazil dan akan berdepan River Plate untuk suku akhir Copa Libertadores.
Kelab Brazil itu menang 1-0 di Beunos Aires dan akan menanti kunjungan wakil Argentina pada Rabu ini untuk perlawanan kedua.
HMetro
|
|