|
London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel berkata pasukannya akan bersaing dengan Manchester City, Manchester United dan Liverpool untuk gelaran Liga Perdana selepas menewaskan Crystal Palace 3-0 pada perlawanan pertama, semalam.
Juara Liga Juara-Juara itu menambah koleksi kejuaraan menerusi Piala Super Uefa pertengahan minggu lalu selepas menewaskan Villarreal di Belfast.
Kejayaan di Liga Perdana adalah sasaran seterusnya untuk Tuchel dan Blues menunjukkan mengapa mereka dilabel pasukan pilihan di belakang juara bertahan, City ketika bertemu Palace.
Tanpa pemain yang baharu ditandatangani, Romelu Lukaku, Chelsea masih garang menerusi gol sumbangan Marcos Alonso dan Christian Pulisic pada separuh masa pertama sebelum Trevoh Chalobah menambah gol ketiga minit ke-58.
"Saya rasa kami mengejar pasukan lain sejak hari pertama lagi. Inilah yang kami mahu lakukan, inilah mentaliti pemain dan kami tidak pernah malu untuk bersaing bagi meraih keputusan paling baik.
"Tapi realitinya ialah kami bukan pasukan pilihan ketika ini," kata Tuchel yang menyaksikan pasukannya menamatkan saingan di kedudukan keempat Liga Perdana musim lalu.
"Saya melihat kami berada di kedudukan keempat pada musim lalu, jadi kami tidak boleh dilabel sebagai pasukan pilihan.
"Kami perlu merapatkan jurang dengan pasukan nombor tiga, dua dan satu. Inilah yang kami akan cuba lakukan."
"Kami mahu kekalkan tahap permainan yang paling tertinggi dan sentiasa berusaha untuk kekal di tahap itu."
HMetro
|
|